BUKIT BERUNTUNG - Buah kurma tetap menjadi pilihan orang ramai sebagai juadah wajib untuk dijamah ketika berbuka puasa dan bersahur walaupun harga barangan itu naik berbanding tahun dahulu.
Seorang pelanggan, Suhaimi Zainal Abiddin, 47, berkata, kerajaan perlu memantau penjualan buah kurma pada bulan Ramadan bagi mengelak peniaga menaikkan harga tanpa kawalan.
Menurutnya, kurma mendapat permintaan tinggi kerana menjadi juadah utama berbuka puasa dan orang ramai tetap membeli walaupun terdapat kenaikan harga.
“Saya cadangkan agar buah kurma dijadikan barang kawalan untuk kebaikan orang ramai terutama umat Islam.
“Kerajaan juga boleh membantu mendapatkan bekalan kurma berkualiti dan dijual pada harga lebih rendah,”katanya.
Seorang pelanggan, Ahmed Faoruq Mohamed, 45, berkata, kurma merupakan juadah pertama yang akan dijamah sewaktu berbuka puasa selain tradisi yang diamalkan sebagai sunnah.
Menurutnya, kenaikan harga buah kurma sudah dijangka kerana semua harga barangan pada masa sekarang menunjukkan peningkatan setiap tahun.
“Tiada satu pun harga barang turun dan harga buah kurma juga naik tetapi tidak begitu ketara serta masih mampu dibeli.
“Cuma kurma yang murah adalah kurma jenis gred rendah dan kurang sedap berbanding jenis kualiti tapi harga mahal sehingga RM100 lebih sekilogram.
“Kita disunatkan berbuka puasa dengan kurma maka terpulang kepada orang ramai sama ada mahu beli kurma murah atau mahal,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan