Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Kenyataan Prof Abdul Aziz Bari yang menyifatkan PAS
'mementingkan kedudukan' ekoran enggan melepaskan jawatan di Selangor,
hanyalah pandangan peribadi dan bukannya mewakili DAP.
Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim bagaimanapun berkata, apa
yang penting adalah ikrar PAS yang mahu terus mendokong kepimpinan
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.
"Saya tidak kisah dari DAP, dari Umno yang keluarkan kenyataan dari
peguam lain pun. Daripada Bar Council, daripada hakim. Masing-masing ada
pendapat.
"Itu pandangan mereka. Kita tidak dapat menghalang mereka dari
mengeluarkan pandangan. Kita perlu menghormati kebebasan bersuara.
"Kita nampak PAS pun terus mendukung agenda pembangunan yang dirangka
oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar. Itu yang paling penting,"
katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Terdahulu, Aziz dilaporkan sebagai berkata keengganan PAS melepaskan
jawatan dalam kerajaan Selangor walaupun selepas memutuskan hubungan
dengan rakan gabungan menjelmakan peribadi sebenar mereka.
Keputusan itu menurut Aziz, hanya menunjukkan PAS pentingkan kedudukan,
katanya dalam temubual yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi
DAP malam tadi.
Aziz turut mengkritik parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu dengan
berkata “hipokrasi” PAS hari ini ketara jika dibandingkan kepada
pimpinan parti terdahulu, yang sedia melepaskan jawatan demi prinsip.
Pada 11 Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS memuktamadkan keputusan
'menceraikan' PKR kerana tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama,
dengan berada sepentas bersama seteru politik PAS, iaitu DAP dan Amanah,
dan menyerang kepimpinan parti itu.
Ia sekaligus meletakkan kedudukan tiga exco PAS dan beratus wakil parti
itu dalam kerajaan Selangor menjadi tanda tanya, tambahan selepas PKR
turut mengarahkan kesemua lantikan politiknya dalam kerajaan negeri
Kelantan untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun spekulasi mengenai kedudukan wakil PAS di Selangor
terjawab selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan hasrat
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mengekalkan kedudukan tiga
wakil rakyat PAS sebagai exco kerajaan negeri.
Tiga exco di Selangor adalah Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan