HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mei 2017

Kenapa kerajaan P. Pinang mahu pinjam dari bank China - Zainal Abidin

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PERMATANG PAUH: Badan Perhubungan Umno negeri mahu Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya mempertimbangkan semula hasrat kerajaan negeri membuat pinjaman dari Bank Eksport-Import China (Exim Bank of China).
 
Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya perlu menggunakan dana sedia ada yang dijana melalui penjualan tanah baru-baru ini.
 
Zainal Abidin juga mempersoalkan mengapa kerajaan negeri perlu membuat pinjaman dengan bank asing sedangkan sering mendakwa mempunyai wang mencukupi kerana perbelanjaan berhemah.
 
“Kerajaan negeri sebelum ini mengatakan mempunyai lebihan simpanan kira-kira RM1.2 bilion tetapi mengapa secara tiba-tiba mahu meminjam wang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
 
Zainal Abidin mengulas kelulusan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017 yang diusulkan Guan Eng pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata, perkembangan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi kerajaan negeri sebelum ini didakwa pernah memperoleh keuntungan kira-kira RM12.5 bilion hasil penjualan tanah.
 
Katanya, jumlah berkenaan tidak termasuk dengan hasil serta projek lain yang dibangunkan di negeri ini yang sepatutnya boleh menampung projek yang dirancang kerajaan negeri tanpa perlu membuat pinjaman.
 
“Ketika Kerajaan Pusat berurusan dengan negara luar untuk membawa pelaburan mahupun pinjaman untuk pembangunan negara, terdapat suara-suara sumbang mengatakan tindakan itu seperti menjual dan menggadaikan negara.
 
“Namun, kini mereka juga tidak menafikan pembangunan itu penting tetapi jika boleh gunalah dahulu dana dalaman yang diperoleh sebelum membuat pinjaman,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: