Oleh Subky Latif
KEBANYAKAN
orang akadamik yang melihat politik dari luar gelanggang dan dari
buku- buku seperti sekalian batu api mencabar sekalian Exco PAS di
Selangor meletakkan jawatan kerana muktamar partinya sebulat suara
memutus tahaluf siyasi dengan PKR putus.
Tetapi ketiga-tiga
ahli Exco PAS itu bukan ahli akademik, maka mereka mahu kekal selama
yang boleh hinggalah penggal yang ada tamat atau mereka dipecat. Lalu
mereka menghormati semua pandangan tetapi mereka patuh dengan arahan
partinya.
Muktamar pun cerdik dan celik politik juga, ia tidak
putuskan semua. Yang muktamar putus tamatkan tahaluf antara parti dengan
parti di luar kerajaan, tidak putus dengan kerajaan.
Tiada
arahan dari muktamar ia putus dengan kerajaan dan keluar dari kerajaan.
Majlis Syura yang mengesahkan keputusan muktamar itu juga tidak menyuruh
orangorang PAS di Selangor mengosongkan jawatan masing-masing.
Bahkan mereka disuruh kekal selagi mereka diperlukan hinggalah dihentikan.
Maka tidak berbangkit Exco itu melanggar keputusasn muktamar dan tidak patuh kepada arahan Majlis Syura.
Muktamar dan Majlis Syura kata, kekal! Jika mereka undur atas apa sebab
jua, maka barulah mereka melanggar arahan muktamar dan Majlis Syura.
Apabila mereka tidak dengar nasihat orang akademik, bukan mereka tidak
menghormati pandangan akademik, tetapi mereka mematuhi arahan partinya.
Melanggar nasihat akademik mungkin ada silapnya. Tetapi mereka tidak
boleh dihukum atas kelemahan itu.
Jika mereka langgar keputusan parti
kerana hendak menjaga pandangan orang akademik, maka mereka melanggar
bai’ah parti. Mereka boleh dikenakan tindakan disiplin.
Muktamar
itu adalah muktamar parti Islam. Majlis Syura itu ada pemegang hukum
tertinggi parti itu,
menentukan syarie atau tidak sesuatu tindakan.
Kerana mereka bergerak atas garis Islam, apa jua yang ditimbang tentulah
peka tentang syarienya.
Lainlah kalau orang akademik dan ulama di luar PAS memfatwakan tindakan PAS itu – tidak berundur seabgai exco – tidak syarie.
Mungkin ada ulama mempertikai keputusan ulama PAS.
Jika berlaku keadaan itu, maka ia bolehlah dikira percanggahan pendapat. Dan ulama biasanya dibenarkan berbeda pandangan.
Berbeda pandangan ulama dikira ada kebaikan dan hikmahnya.
Tetapi mestilah perbezaan itu tidak menimbulkan fitnah dan perpecahan.
Sebagai parti yang bersandar kepada Islam tentulah keputusannya membawah
hikmah agama.
Arahan agama tidak boleh dipermudah dan tidak
wajar dicanggah. Pantang sekali berputus asa, kerana putus asa itu bukan
dari ajaran Islam. Maka exco sebagai ahli parti jangan lari dari
tanggungjawab sebagai yang dikehendaki parti.
Ada contoh terbaik
untuk diperhatikan. Nabi Yunus a.s. tidak dapat meyakinkan umatnya
tentang risalah yang dibawanya. Lalu beliau meninggalkan kaumnya tanpa
ada wahyu mengenainya.
Tindakannya meninggalkan dakwaah itu
ditegur Tuhan, dikenakan tindakan disiplin, dihumban ke laut dari
bahtera oleh nakhoda, disambar jerung, terpaksa terpenjara dalam perut
jerung dan kemudian dimuntahkan jerung di pantai wilayah beliau diutus
bagi menyambung dakwahnya.
Kita tidak menyamakan politik PAS
dengan disiplin ditempuhi Nabi Yunus. Tetapi kita sedar tindakan politik
parti Islam wajar mengambil kira segala yang terjadi pada nabi-nabi,
para khalifah dan ulama muktabar.
Maka keputusan PAS tidak wajar disamakan perkembangan politik duniawi yang sandarannya atas kekuatan fikiran manusia saja.
Politik PAS itu mesti dilihat dari sudut ajaran dan siyasah syariyah.
Perletakan jawatan Dato’ Onn Jaafar, Tun Musa Hitam dan Tan Sri
Muhyiddin Yasin dibuat mengikut pertimbangan politik yang mereka
fikirkankan.
Tetapi jika ada orang PAS meletak jawatan yang tidak
menyebabkan mereka meninggalkan jemaah, maka ia wajar dilihat tentang
muslihat jemaahnya.
Ketua umum Masyumi dan perdana menteri
pilihan rakyat Indonesia, Mohd Natsir kerana berdepan dengan komplot
politik pro-Sukarno, meletak jawatan perdana menteri kerana menghormati
demokrasi sedang beliau memegang mandat rakyat.
Gara-gara
pengunduran terhormatnya jatuh ke tangan parti berhaluan dunia, dengan
kuasa yang pro-Sukarno peroleh itu digunakan untuk memukul gerakan Islam
Masyumi yang pengaruhnya besar ketika itu. Demokrasi tidak dihormati
lagi, akhirnya Masyumi lumpuh dan diharamkan.
Pak Natsir dipetik
sebagai berkata puluh tahun kemudian, inilah silapnya terlalu percaya
kepada demokrasi, lalu tidak memanfaatkan kuasa politik ada, musuh
menggunakannya bagi menghancurkan politik Islam yang terkuat di
Indonesia sebelum PAS dikenali di sini.
Dunia politik memerlukan
pandangan dan nasihat politik dari ahli akademik dan ahli-ahli ilmu yang
mashur.
Biasanya pandangan bebas itu memberi pengaruh yang kepada
politik semasa. Pandangan bebas itu boleh memberi input buruk baiknya
politik semasa.
Tidak dinafikan kepentingannya adalah demi demokrasi dan politik yang sihat.
Tetapi orang akademik belum tentu dapat memelihara kesejahteraan dan kelancaran politik jika kuasa itu diberikan kepadanya.
Syed Naquib al-Attas adalah seorang tokoh akademik yang terserlah dan
ahli fikir yang tinggi daya falsafahnya. Dia menyertai Gerakan yang
ditubuhkan oleh abangnya sebagai parti pembangkang pertengah tahun
1960-an.
Dia terlibat dengan debat besar antara Gerakan dan DAP
atas isu sastera Malaysia dan sastera Cina.
Gerakan menang debat itu
tetapi DAP menang politik bagi mengekalkan sokongan masyarakat Cina.
Syed Naquib tiba-tiba keluar Gerakan lepas debat itu.
Gerakan
ditubuh dan dipimpin oleh Prof Syed Hussein al-Attas, seorang pemikir
dan akademik yang pintar.
Dalam waktu yang singkat Gerakan berjaya
menumbang kerajaan Perikatan Pulau Pinang. Akademik yang tinggi padanya
tidak dapat membebaskan Gerakan dari pengaruh Dr Lim Chong Eu. Syed
Hussein gagal menundukkan Chong Eu lalu meletak jawatan.
Sebagai
ketua Gerakan dia sepatutnya jangan letak jawatan. Gunakan akademik dan
politik tingginya untuk mempertahankan pimpinan Gerakan. Apabila dia
meletakkan jawatan, Dr Lim ambil kesempatan bahawa Gerakan Pulau Pinang
menyertai Perikatan.
Sebagai ahli akademik yang pintar,
kepintarannya hanya bagi menyerlah akademik, tetapi gagal mempertahankan
politik yang dipimpinnya.
Za’ba adalah ahli akademik dan pendita
bahasa Melayu. Dia mempengerusikan persidangan menubuhkan Umno di Kelab
Sultan Sulaiman di Kampung Baru tahun 1946. Tetapi ilmunya membantu
menubuhkan Umno saja.
Bila ditubuhkan dia tidak jadi pemimpin.
Pimpinan dipegang oleh Dato’ Onn, sedang dia adalah pengerusi
persidangan dan penaja perhimpunan itu.
Orang kata Umno itu parti keramat orang Melayu. Sepanjang hidup parti itu nama Za’ba langsung tidak timbul.
Untunglah tidak dalam exco PAS itu orang akademik. Jika ada yang
akademik, tentu mereka meletak jawatan. Mungkin mahu mendapatkan satu
politik yang bermaruah. Tetapi dalam banyak perkembangan di dunia, orang
bermaruah kebanyakan jadi makanan orang poitik yang tidak bermaruah.
Pak Natsir di Indonesia tadi adalah contoh bagi memberi laluan kepada
demokrasi yang subur, selari dengan nasihat orang akademik tentang PAS
di Selangor sekarang. Tetapi demokrasi yang bersih itulah membunuh
politik Masyuminya.
Apa yang PAS buat itu adalah satu ilmu politik yang boleh membantu bahan akademik ilmu politik di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan