Kenyataan Ketua Armada Syed Saddiq terhadap Ketua Naib Presiden itu bukti PPBM sebuah parti yang tidak saling hormat-menghormati terhadap pemimpin yang lebih berpengalaman
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hamidah Osman berhak berasa kecewa apabila tidak dipilih menjadi Pengerusi Perhubungan Perak, kata bekas Setiausaha kerja parti itu Kamarul Azman Habibur Rahman.
Jelasnya, pemilihan parti sepatutnya dibuat berdasarkan kebolehan bukan dipengaruhi faktor kronisme dan dalam masa yang sama, kepimpinan parti itu juga perlu memberikan sebab yang munasabah terhadap alasan untuk tidak memilih Hamidah.
“Hamidah mungkin tersinggung kerana dia tidak terpilih untuk menjadi Ketua Perhubungan Perak seperti ramai yang mengatakan.
“Pemilihan itu perlulah mempunyai satu garis panduan yang jelas tentang pelantikan. Apa kriteria-kriteria yang membolehkan seseorang itu menjadi Ketua Perhubungan negeri? Atau Bahagian contohnya?
“Masalah dalam PPBM ini tidak ada ketelusan dan satu garis panduan yang jelas terhadap pemilihan ini,” katanya kepada Berita Daily.
Menurutnya lagi, khususnya Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Mukhriz Mahathir sering membuat keputusan tanpa mengikut garis panduan dalam pemilihan yang pada akhirnya menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap ahlinya.
“Saya keluar parti ini disebabkan oleh kerana saya lihat keputusan ikut suka hati dua orang (Muhyiddin dan Mukhriz) ini.
“Mereka tidak berbincang mengikut garis panduan yang ditentukan. Jadi kalau Hamidah kecewa saya rasa dia mempunyai hak untuk kecewa. Kerana pemilihan itu perlulah diberitahu tentang garis panduannya kenapa dia tidak dipilih contohnya,” ujar Kamarul.
Sehubungan itu, Kamarul menjangkakan Hamidah akan mengikuti langkahnya untuk meninggalkan PPBM tidak lama lagi.
“Tidak mustahil, peluang untuk dia (Hamdah) keluar sangat-sangat cerah.
“Jadi saya nampak bahawa peluang untuk dia keluar untuk parti ada kerana sekiranya mereka yang lain berpandangan dia adalah duri dalam daging kerana memberi pandangan-pandangan yang berbeza dengan ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang lain maka ini pasti akan berlaku sekiranya itulah tanggapan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MPT yang lain,” katanya lagi.
Kemelut PPBM semakin hangat apabila Hamidah dikatakan menjadi dalang kepada tindakan lebih 1,000 anggotanya di Perak keluar parti.
Hamidah didakwa mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati tidak dipilih menjadi Pengerusi Perhubungan bagi negeri Perak.
Ketua Armada parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudiannya pula menyuarakan gesaannya terhadap Hamidah supaya melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden.
Sementara itu, Kamarul menyifatkan tindakan Syed Saddiq membuktikan PPBM sebagai parti yang tidak menghormati pemimpin yang lebih berpengalaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan