HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Mei 2017

Pertempuran Mindanao: Malaysia perketat kawalan keselamatan, tambah aset ATM tingkat rondaan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Susulan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan militan di Marawi, Mindanao, kerajaan Malaysia akan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan negara khususnya Sabah. 
 
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas berkata beliau sudah mengarahkan penambahan aset untuk mengetatkan lagi pertahanan negara.
 
"Bagi meningkatkan kawalan serta memperkukuh keselamatan Sabah, ATM akan melaksanakan penambahan aturgerak aset. Inisiatif ini melibatkan penambahan rondaan 2 buah kapal yang akan diaturgerak hari ini bagi membantu memperketatkan kawalan di perairan Sabah, menempatkan anggota Quick Reaction Force (QRF) bersama trup yang beroperasi di pulau-pulau sekitar perairan Sabah, serta meningkatkan rondaan bot-bot tempur di kawasan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk dari Selatan Filipina.
 
"Selain itu, ATM juga akan melaksanakan penambahan 1 kompeni infantri Tentera Darat di kawasan Cenderawasih, Lahad Datu. Penambahan trup tersebut dilaksanakan bertujuan memastikan kawasan pantai di Lahad Datu terkawal sepenuhnya," ujarnya menerusi kenyataan medianya hari ini.
 
Menurut Hishamuddin inisiatif-inisiatif ini adalah pendekatan terkini yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memperkukuh keselamatan Sabah.
 
Pelaksanaan inisiatif dan pendekatan ini termasuk mengaturgerak aset tambahan diperkirakan berupaya menangani serta memberi tindak balas dengan pantas terhadap sebarang ancaman yang wujud.
 
"Saya sudah berbincang berhubung perkara ini secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM), YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Susulan itu, YAB TPM telah mengarahkan agar ATM berkerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan di negara ini untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan Sabah dan negara ini terus terpelihara.
 
"Sesungguhnya, saya telah menyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa landskap keselamatan dunia semakin mencabar dan begitu pantas berubah. Beberapa insiden serangan dan letupan bom yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini (bukan hanya di rantau ini) seperti di Mesir, Manchester, Paris, Stockholm, Iraq dan Afghanistan membuktikan ancaman pengganas adalah nyata," katanya.
 
Hishamuddin bertegas ATM dan pihak keselamatan di negara ni, sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik dari semasa ke semasa bagi menangani ancaman itu.
 
Sebelum ini, Zahid mengesahkan dua rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan Daesh, terbunuh dalam pertempuran di Mindanao.
 
Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan dengan IS

Tiada ulasan: