HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mei 2017

Proton mungkin hilang jika Geely tak muncul, kata menteri

THE MALAYSIA INSIGHT


PROTON Holdings Bhd mungkin ditutup seperti Perwaja Steel jika kerajaan tidak menjual sebahagian daripadanya kepada Geely Holdings Group, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam temu bual dengan akhbar itu, Johari berkata jika Proton ditutup, ia akan memberikan impak lebih besar kerana lebih 10,000 kakitangan Proton dan lebih 60,000 orang yang bekerja dengan vendor dan sektor berkaitan bakal kehilangan pekerjaan.

“Kerajaan tidak boleh terus menghulurkan wang kepada Proton setiap kali syarikat tersebut mengalami masalah kewangan kerana model perniagaan sedemikian tidak mampu bertahan lama.

Johari berkata Proton jadi tidak kompetitif kerana tidak bersaing secara teknologi dengan pembuat kereta lain.

“Selepas 32 tahun, kita berdepan dengan satu masalah di mana Proton tidak lagi kompetitif,” katanya.
Pada 2015, Proton mengalami kerugian hampir RM650 juta dan pada 2016, Proton rugi hampir RM150 juta, kata Johari.

“Proton terpaksa meminjam daripada kerajaan RM1.5 bilion untuk membuat bayaran kepada vendor dan pembekal yang tertunggak selama lapan bulan,” katanya.

Johari berkata ketika zaman kegemilangannya, Proton jenama nombor satu di Malaysia dan berjaya menjual kereta hampir 200,000 unit setahun.

“Sekarang ini, Proton hanya boleh jual lebih kurang 5,000 unit sebulan sedangkan syarikat itu mempunyai kapasiti pengeluaran antara 350,000 hingga 400,000 unit setahun.

“Proton ini satu produk yang bagus dan ada pelan yang bagus. Tetapi oleh sebab zaman berubah, teknologi juga bertukar. Jadi kalau kita masih tidak tukar dan kekal duduk macam dalam zon selesa yang lama, maka kita tidak boleh membaik pulih Proton,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata kerajaan memilih Geely sebagai rakan strategik kerana syarikat itu mempunyai banyak teknologi baharu dan rekod prestasi yang bagus dengan nilai jualan RM38.4 bilion setahun.

“Keuntungannya hampir RM4.27 bilion dan mempunyai kira-kira 35,100 pekerja dan nilai keseluruhan aset syarikat itu mencecah RM42.7 bilion. Kemudian, Geely mengedarkan kereta keluarannya ke 23 negara,” katanya.

Johari berkata Proton ialah produk berpotensi besar.

“Bayangkan kalau di China, Geely boleh jual 200,000 unit kereta Proton setahun, maka Proton akan mencatat keuntungan. Proton juga dapat memperluaskan penguasaan pasaran ke rantau Asean,” katanya.

“Proton sudah bertapak selama 32 tahun dan mempunyai platform. Ia sudah ada pembekal, vendor dan saluran pengedaran. Kalau Geely beli syarikat baharu, syarikat dari China itu perlu buat kilang, cari pekerja, bina vendor dan pengedar. Proton sudah ada ini semua. Geely cuma datang dan baik pulih,” katanya dipetik daripada Mingguan Utusan.

Berhubung kebimbangan pekerja dan vendor Proton kehilangan kerja dan kontrak, Johari berkata ketika Geely membeli Volvo, pembuat kereta Sweden itu mempunyai hanya 27,000 pekerja.

“Tetapi sekarang jumlahnya bertambah kepada 35,000 pekerja kerana apabila pengeluaran tinggi, bilangan pekerja akan bertambah,” katanya.

Tiada ulasan: