Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS memulangkan 'paku buah keras' kepada DAP yang masih
mempersoalkan kedudukan tiga exco dan wakil pimpinan parti itu di
Selangor.
Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad kemudiannya merujuk tindakan DAP pada
2015, apabila parti itu yang mengambil langkah pertama memutuskan
hubungan dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran percanggahan
berterusan mengenai matlamat politik.
"Mengapa waktu berpisah dengan PR mereka tak letak jawatan di Selangor?
Sedangkan mereka keluar dahulu (PR)," katanya ringkas ketika diajukan
hal tersebut.
Untuk rekod, DAP mengumumkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang
diwujudkan pada 2008 putus serta-merta kerana perbalahannya dengan PAS.
DAP didakwa gagal menerima perjuangan PAS berkenaan hudud dan dasar
Islam yang akhirnya membawa kepada 'perang mulut' sesama pemimpin
parti-parti berkenaan.
Dua hari lalu, ahli DAP, Prof Abdul Aziz Baru mendakwa keengganan PAS
untuk meletak jawatan dalam kerajaan negeri Selangor menjelmakan
peribadi sebenar parti itu.
Beliau berkata PAS hanya mementingkan kedudukan dan jawatan, selain
menuduh 'hipokrasi' PAS pada hari ini lebih jelas berbanding kepimpinan
terdahulu.
Aziz kemudiannya memberi contoh bagaimana bekas presiden PAS, Tan Sri
Asri Muda meletak jawatan di dalam jemaah menteri persekutuan kerana
membantah pengisytiharan darurat di Kelantan.
Mengulas lanjut, Idris hairan bagaimana DAP masih tidak berpuas hati
dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharuffin Idris Shah yang berkenan
mengekalkan kedudukan tiga exco dan pimpinan PAS yang lain.
"Hormatlah (keputusan). Malah apa yang PAS ambil ini pun supaya wujud
kestabilan, PRU14 semakin dekat dan kepentingan rakyat mengatasi
segala-galanya.
"Sultan Selangor pun bersetuju dengan sikap PAS yang mana meletakkan soal kestabilan negeri dan rakyat," tegasnya.
Awal bulan ini PAS secara rasmi memutuskan kerjasama dengan PKR,
apabila Majlis Syura Ulama memutuskan langkah itu perlu demi
mempertahankan agenda Islam PAS.
PAS menuduh PKR melanggar syarat kerjasama, gagal menyokong PAS dalam
agenda Islam, dan menentangnya pada pilihan raya kecil di Kuala Kangsar
dan Sungai Besar tahun lalu.
Walaupun PKR mengarahkan semua lantikan politik parti berundur dari
kerajaan Kelatan, PAS memutuskan tiga exco mereka kekal di Selangor
sehingga pilihan raya umum akan datang.
Tiga exco berkenaan ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad; Exco Pendidikan,
Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi serta Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan
Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan