HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mei 2017

Khalid mahu Exco Pas tunai janji manifesto Pakatan Rakyat

MALAYSIA DATELINE

Khalid IbrahimKhalid Ibrahim
Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengharapkan tiga Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Pas yang dikekalkan jawatan akan dapat mengotakan janji di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum 2013 yang lalu.

Beliau berkata, janji pilihan raya itu khusus dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor kerana itulah yang menjadi sebab utama rakyat Selangor ujarnya, memberikan mandat yang besar untuk terus mentadbir negeri ini.

"Saya menyeru agar YB Zaidy yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pengambilalihan industri air di Selangor agar mengkaji semula keputusan Kerajaan Negeri membayar syarikat konsesi Splash sebanyak RM2.8billion iaitu lebih sepuluh gali ganda daripada nilai ekuiti asal.

"Exco Pas lain juga diharapkan dapat menyiasat dakwaan awam bahawa terdapat salahguna kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir dan aktiviti perlombongan pasir haram yang kian berleluasa di negeri ini.

"Tambahan pula kita turut dikejutkan dengan berita terdapatnya manipulasi di dalam penjualan hartanah milik kerajaan yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat Pemaju serta tidak memberi manfaat yang sepatutnya kepada kerajaan negeri," ujarnya.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini berkata, beliau tidak akan berhenti menuntut agar pentadbiran sedia ada meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama di dalam membuat sebarang keputusan.

"Sebuah pentadbiran yang baik bukan sahaja cemerlang mengurus harta negeri dan membawa pendapatan kepada negeri tetapi elemen yang amat penting ialah memastikan tiada ketirisan di dalam setiap bentuk pembangunan dan program kebajikan yang dilaksanakan," ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan bijaksana DYMM Sultan Selangor yang telah memberi perkenan dan mengesahkan kedudukan tiga Exco yang mewakili parti Pas untuk kekal di dalam Kerajaan Negeri.

Khalid berkata, titah Tuanku bukan sahaja memberi pencerahan kepada kemelut politik yang melanda Negeri Selangor sejak beberapa bulan lalu tetapi juga akan membawa kepada kestabilan pentadbiran dan pengurusan negeri.

"Saya mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga Exco yang mewakili Pas iaitu YB Iskandar Samad, YB Dr Ahmad Yunus Hairi dan YB Zaidy Abdul Talib yang mendapat kepercayaan DYMM Sultan untuk terus berkhidmat kepada kerajaan Tuanku.

"Justeru amat penting bagi ketiga-tiga mereka memberi sepenuh komitmen dalam memastikan perkhidmatan yang cekap, telus dan bertanggungjawab," ujarnya.

Pada Jumaat, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk mengekalkan tiga Exco kerajaan Selangor daripada parti Pas dikekalkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tiga exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi); serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka.

Tiada ulasan: