HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mei 2017

Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman mula beroperasi

Bernama

Sebelum ini telah ditetapkan untuk memulakan operasi KSCIP  selepas  tempoh 90 hari lawatan Raja Arab Saudi iaitu Raja Salman Abdul Aziz Al Saud ke negara ini.

KUALA LUMPUR: Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) mula beroperasi hari ini dalam usaha menangkis pengaruh ekstremis dan membetulkan persepsi masyarakat dunia terhadap Islam, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata sebelum ini telah ditetapkan untuk memulakan operasi KSCIP  selepas  tempoh 90 hari lawatan Raja Arab Saudi iaitu Raja Salman Abdul Aziz Al Saud ke negara ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata KSCIP akan melibatkan para ilmuwan, pihak akademik, pihak risik dan juga pusat-pusat tertentu di peringkat serantau dan antarabangsa,

Beliau berkata pembinaan KSCIP yang ditetapkan bagi tempoh dua tahun itu mempunyai kaitan rapat dengan pelancaran Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di Mu’tamarat, Nasiriyah, Riyadh baru-baru ini.

“KSCIP, tidak sahaja memfokus kepada aspek ketenteraan tetapi juga elemen akademik dan peranan utamanya ialah membanteras ancaman pengganas dan penyebaran dakyah dan ideologi golongan ekstremis dan pengganas,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan kira-kira 3,000 bungkus bubur lambuk kepada warga Kementerian Pertahanan (Mindef) di Wisma Pertahanan, di sini.

KSCIP  beroperasi di sebuah pejabat sementara di Kuala Lumpur.

KSCIP pada awalnya dijadual dilancarkan esok oleh Timbalan Putera Mahkota Mohammed Salman Al-Saud namun ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

Ditanya mengenai pertempuran kumpulan bersenjata dan tentera Filipina di bandar Marawi, selatan Filipina, Hishammuddin berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu daripada  rakan sejawatnya daripada Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana.

“Mindef tidak ambil langkah mudah perkara ini (pertempuran di Marawi) yang berlaku di negara jiran dan Malaysia tidak terkecuali.. oleh itu, kita akan terus berusaha dan bekerjasama dengan orang ramai yang menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada gerakan seperti ini,  (gerakan) mesti sampai kepada kita (Malaysia)  juga,” katanya.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor baru-baru ini berkata berkata ATM mempertingkatkan kawalan di sempadan bagi mengelakkan kemungkinan anggota kumpulan terbabit cuba melarikan diri ke Malaysia.

Tiada ulasan: