PUTRAJAYA: Lapan kementerian berjaya mencapai sasaran 100 peratus
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera (PEB) bagi tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Kementerian itu ialah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar;
Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar; Kementerian Belia dan Sukan;
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air; Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Najib, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pencapaian KPI tersebut
selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang
pertama sejak pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi 2.0 dan
Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) pada 19 April lalu di sini.
Beliau berkata, sebanyak 93 KPI PEB, yang diperakukan MEB, yang
mempunyai impak tinggi, lebih bersifat berasaskan hasil dengan sasaran
yang lebih tinggi telah ditetapkan untuk 25 kementerian, termasuk
Jabatan Perdana Menteri bagi tahun lalu.
"Kita mengambil maklum bahawa 23 Kementerian telah mencapai
sekurang-kurangnya 90 peratus sasaran KPI yang telah ditetapkan,"
katanya kepada pemberita.
Menurutnya, antara pencapaian utama PEB kementerian dan agensi bagi
2016 adalah apabila sebanyak 63.8 peratus nilai anggaran kerja tahunan
telah diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan
lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Duta Ulu Klang
Expressway 2 (DUKE2), Lebuhraya Ekspres Lembah Klang Timur (EKVE) dan
Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Yang lain ialah nilai kontrak sebanyak RM1.48 bilion diberikan kepada
syarikat Bumiputera bagi Projek KL118 Tower (Warisan Merdeka);
peningkatan pembabitan syarikat Bumiputera dalam Program Pembangunan
Vendor; peningkatan peratusan Bumiputera dalam pemilikan unit kediaman
rumah dan secara kumulatif, jumlah keseluruhan perolehan koperasi
Bumiputera telah meningkat kepada RM31 bilion dengan peningkatan
sebanyak RM2.44 bilion pada tahun lalu.
Najib berkata KPI PEB Kementerian untuk tahun ini pula adalah selari
dengan strategi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11) dan
Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0.
Beliau berkata, sebanyak 125 KPI Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera telah
diperakukan oleh MEB bagi semua kementerian dan Jabatan Perdana Menteri
yang berimpak tinggi dan bersifat 'berasaskan keputusan' yang
ditetapkan.
"KPI Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) bagi 2017 akan memberi tumpuan
khusus dalam bidang pembangunan vendor, rantaian bekalan Bumiputera
dalam sektor strategik, program latihan di bawah Skim Latihan 1Malaysia
(SL1M), pembangunan rumah mampu milik serta pengenalan dan
penambahbaikan dasar bagi pengagihan khusus dan pemerolehan Bumiputera,"
katanya.
Bagi pencapaian KPI 2016 membabitkan Syarikat Pelaburan Berkaitan
Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan terpilih (G20), Najib
memaklumkan bahawa lima GLIC and 17 G20 telah mempamerkan tahap
kematangan dengan hasil yang positif dan lebih memberangsangkan sejak
program itu dilaksanakan pada 2014.
Di bawah pelaksanaan KPI BEA GLIC dan G20, tujuh bidang utama terbabit
ialah program pembangunan vendor, syarikat utama untuk rantaian bekalan
pengagihan khusus, modal insan, pemilikan aset bukan kewangan, pemilikan
ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat serta pemerolehan, katanya.
Antara pencapaian utama yang dicatatkan pada tahun lalu adalah
menyerapkan 72 vendor baharu ke dalam Program Pembangunan Vendor
berbanding 49 vendor baharu pada 2015, melatih lapan vendor bertaraf
jaguh nasional dan satu vendor bertaraf jaguh serantau; melatih 11,888
siswazah di bawah SL1M berbanding 6,422 pada 2015, katanya.
"Selain itu, membina 3,476 rumah mampu milik berbanding 213 rumah pada
2015 dan nilai pemerolehan dari syarikat Bumiputera berjumlah RM13.4
bilion berbanding RM11.8 bilion pada 2015," katanya.
Najib berkata secara keseluruhan, nilai inisiatif untuk Bumiputera pada
tahun lalu berjumlah RM42.1 bilion berbanding RM30.0 bilion pada 2015,
manakala syarikat GLIC dan G20 turut mencatat pencapaian 95.3 peratus
sasaran KPI BEA pada tahun lalu.
"Untuk 2017, sasaran KPI BEA adalah lebih tinggi berbanding 2016, di
mana KPI yang dirancang akan memberi fokus kepada aspek kualiti,
bersifat berdasarkan keputusan serta diselaraskan mengikut operasi teras
GLIC dan G20 itu sendiri," katanya.
Antara inisiatif yang disasarkan adalah untuk menyerapkan 25 vendor
baharu serta melahirkan 31 jaguh nasional dan dua jaguh serantau, selain
melatih seramai 12,690 siswazah di bawah program SL1M serta
membangunkan 1,150 buah rumah mampu milik dan menambah baik dasar
pemerolehan dan mesra-PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dengan nilai
sasaran RM11.1 bilion.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memaklumkan Khazanah Nasional
selaku urus setia program akan terus memperkemas struktur penyampaian
dan pelaksanaan BEA bagi memastikan manfaat serta kesannya dapat dirasai
masyarakat Bumiputera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan