ALOR SETAR: Lebih ramai warga pendidik bakal menarik nafas lega tahun
ini apabila peratusan kelulusan untuk permohonan berpindah di kalangan
guru meningkat lima peratus kepada 25 peratus tahun ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peningkatan lima
peratus itu dibuat berikutan peningkatan bilangan permohonan, selain
untuk memberi peluang kepada guru bekerja dalam suasana kerja dan
pengajaran yang lebih baik.
Setakat ini, kementerian menerima sejumlah 20,470 permohonan di mana 2,825 atau 13.8 peratus telah diluluskan.
"Antara sebab yang diberikan dalam permohonan untuk berpindah kerana
tinggal berasingan dengan suami, masalah kesihatan kronik, keselamatan
dan telah begitu lama berkhidmat di negeri tertentu," katanya pada
sidang media di Kuala Nerang di sini selepas diberi taklimat berkaitan
perpindahan guru pada Jun 2017.
Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada guru yang tinggal
berasingan dengan suami yang mencatatkan permohonan sebanyak 6,635, di
mana 2,261 daripadanya telah diluluskan.
Mahdzir juga menggesa graduan guru baharu yang akan mendapat surat
bertugas pada Julai ini untuk menerimanya dengan minda terbuka, walaupun
dihantar bertugas ke lokasi bukan pilihan mereka.
"Penerimaan graduan guru baharu ini akan melancarkan proses perpindaan
bagi mengisi kekosongan. Sekurang-kurangnya mereka dapat berada di
tempat sama untuk tiga tahun sebelum memohon untuk berpindah.
"Kita tidak mahu mereka terima perpindahan tetapi enam bulan kemudian mengemukakan permohonan berpindah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan