Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Persepsi dan politik adalah dua perkara yang mustahil untuk
dipisahkan, demikian menurut penganalisis politik, Dr. Jeneri Amir.
Mengulas usaha PAS untuk tidak lagi bermain dengan persepsi, Jeneri
berpendapat parti berkenaan seolah-olah tidak berpijak di bumi yang
nyata apatah lagi dengan mengambil kira realiti politik semasa negara
yang sedang hangat.
"Mana-mana politik sebenarnya, soal persepsi tidak dapat lari. Politik
dan persepsi merupakan simbiotik, tidak dapat dipisahkan. Apa sahaja
dilakukan mana-mana parti politik atau apa sahaja kenyataan daripada
pemimpin politik, ia akan menimbulkan persepsi atau tanggapan tertentu
terhadap pengundi dan rakyat.
"Untuk mengatakan PAS tidak lagi bermain dengan politik persepsi, ia
hanya ungkapan yang tidak bijak. Hakikatnya, politik dan persepsi tidak
dapat dipisahkan," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Baru-baru ini Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad berkata partinya
menyusun strategi politik baru, iaitu enggan lagi mengamalkan permainan
persepsi yang sebelum ini sering digunakan terhadap parti-parti lawan.
Sebaliknya ujar Idris, PAS kini berusaha mendekati penyokong parti
Umno-Barisan Nasional supaya golongan tersebut memahami perjuangan PAS.
Mengulas mengenai perkara itu, Jeneri berpandangan pendekatan baru PAS
itu seolah-olah mengiyakan lagi hubungan mesra yang terjalin antara PAS
dan Umno, sebagaimana yang didakwa selama ini.
"Jika mereka hendak menggunakan pendekatan itu, maka ia akan
mengukuhkan lagi tanggapan rakyat dan pengundi di Malaysia bahawa
kedua-dua parti ini, khususnya PAS cuba berbaik dan bekerjasama dengan
Umno," ujarnya.
Isu kerjasama Umno-PAS hangat diperkatakan selepas kerajaan membenarkan
parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu untuk membentangkan Rang
Undang-undang 355 bagi meminda Akta Mahkamah Syariah.
Bukan itu sahaja, keputusan PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR
pada bulan lalu juga menyemarakkan lagi tanggapan kerjasama di antara
dua parti tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan