HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Mei 2017

Dialog TN50 bersama kanak-kanak 21 Julai ini

Mohammad Arif Nizam
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada Kumpulan Sasar pada Majlis Berbuka Puasa Ihya' Ramadan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 
 

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menganjurkan program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama golongan kanak-kanak pada 21 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, program sesi dialog itu akan turut disertai bersama Kementerian Belia dan Sukan diketuai menterinya, Khairy Jamaluddin.

Jelasnya, seramai lebih 500 kanak-kanak di bawah Majlis Kanak-Kanak berusia di bawah 18 tahun akan dijemput ke program tersebut.

“TN50 bersama kanak-kanak adalah lanjutan daripada kejayaan yang kementerian adakan program TN50 bersama Ahli Majlis dan Kumpulan Sasar pada 25 Mei lalu.

“Pada program itu, terdapat kanak-kanak yang hadir melontar idea yang menarik seperti kenapa tiada pendidikan seks di sekolah hingga saya agak terpegun mendengarnya dan perlu menjawab.

“Bagi pihak kementerian, kami tidak mahu mana-mana kumpulan ketinggalan dalam melontar idea ke arah menjayakan aspirasi tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis berbuka puasa Ihya’ Ramadan KPWKM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.

Lebih 1,200 tetamu melibatkan lapan kumpulan sasar kementerian antara warga emas, wanita, kanak-kanak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir pada majlis tersebut.

Rohani memberitahu, kanak-kanak dari Permata Negara (Permata) dan Mini Parlimen akan turut terlibat dalam sesi dialog TN50 itu selain pelbagai golongan kanak-kanak dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Jelasnya, kejayaan TN50 nanti hanya akan direalisasi oleh golongan kanak-kanak pada hari ini sebagai penggerak transformasi tersebut.

“Selepas dialog bersama kanak-kanak, kementerian akan meneruskan program TN50 bersama warga emas, gelandangan, wanita, NGO dan orang kelainan upaya.

“Saya tidak mahu kumpulan sasar kementerian ketinggalan untuk datang melontar idea,rasa gembira dan betul-betul inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: