HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Ogos 2017

Kerana fitnah, kami digelar penjenayah sehingga kini - bekas tahanan ISA Memali

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
BALING: Disebabkan dakwaan yang mengaitkan peristiwa Memali sebagai operasi kerajaan untuk membanteras pengganas dan membendung ajaran sesat, mangsa tragedi itu sehingga kini masih dianggap sebagai 'penjenayah' oleh segelintir penduduk setempat.
 
Osman Salleh, 65, yang merupakan salah seorang pengikut Ibrahim Mahmod atau Ibrahim Libya mendedahkan, fitnah yang dilemparkan memberi kesan kepada dirinya sehingga hari ini sekalipun tragedi itu sudah berlalu 32 tahun lalu. 
 
Osman yang berusia 33 tahun pada ketika itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir lapan bulan susulan operasi yang disasarkan untuk menangkap Ibrahim.  
 
"Kesan itu dari sebelah pihaklah. Dari orang yang kenal Ustaz Ibrahim, mereka akan kata kita bagus. Musuh Ustaz akan katakan kita jahat. Sampai hari ini pun mereka kata kita jahat.Kadang bila keluar, mereka kata inilah anak murid ustaz Ibrahim, orang jahat. 
 
"Kalau orang yang tahu peristiwa Memali ini, tak mengapa. Tapi kalau yang rujuk Kertas Putih, memang kata begitu (jahat) kerana segelintirnya tak lahir lagi ketika itu. Mereka hanya baca sejarah yang faktanya bukan perkara sebenar," katanya kepada Antarapos, ketika ditemui di Kampung Memali baru-baru ini. 
 
Tegas Osman, beliau bingung bagaimana pihak berkuasa merumuskan bahawa Ibrahim, seorang lulusan luar negara dan guru agama yang disegani, pembawa ajaran sesat kepada penduduk kampung.
 
"Kami ini seperti difitnah. Ikutkan semasa soal siasat, mereka kata kita penjenayah dan pengikut ajaran sesat Ustaz Ibrahim. Sebab itu mereka nak 'ambil'. Saya nafikan, beritahu mereka yang kita mengucap kalimah syahadah seperti biasa. Kalau boleh perkara ini dijelaskan, kami bukan penjenayah," ujarnya lagi. 
 
Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis ketika pasukan keselamatan melancarkan operasi menangkap  Ibrahim. 
 
Isu Memali kembali hangat selepas penonton bertanya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada forum 'Nothing To Hide 2.0' baru-baru ini sehingga tercetus kekecohan akibat tidak puas hati dengan jawapannya.
 
Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu dalam jawapannya pada forum berkenaan berkata, polis hanya mempertahankan diri mereka dan bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
 
Tergamak tembak orang kampung
 
Bagaimanapun, Osman menyanggah kenyataan mantan perdana menteri itu sambil menambah, penduduk kampung yang terpaksa bertindak mempertahankan diri selepas kawasan kampung mereka diceroboh pasukan keselamatan.  
 
"Tindakan itu saya tak terbayang langsung mereka sanggup buat kita macam itu. Kita ni orang kampung, dan (Ibrahim) guru agama. Saya tengok mereka tembak orang kampung, saya seorang yang hidup. Kita ni bukan ada persediaan nak lawan atau perang. Dalam hati berfikir tergamaknya mereka buat macam ini.
 
"Sebab itu, mana yang ada parang ketika itu maju ke depan. Bukan nak lawan, tapi nak halang mereka masuk saja. Motif yang sebenarnya ada di belakang, ada motif lain kerana mereka nak ambil Ustaz Ibrahim saja," katanya lagi. 
 
Malah ujarnya, keengganan penduduk kampung menuruti arahan supaya menyerah diri adalah kerana yakin tidak melakukan kesalahan sebagaimana yang didakwa kerajaan.  
 
"Mereka datang seperti itu kita pun tak terfikir sebegitu. Di setiap sudut ada polis, FRU. Mereka tembak gas pemedih mata selepas beri amaran untuk kami menyerah diri.
 
"Tapi kenapa kita nak serah diri? Jadi bila kita tak serah diri, mereka tembak. Kami ingat tembakan betul, rupanya gas pemedih mata. Mereka tembak sehingga habis gas, lepas habis, mereka bawa lagi siap ada kereta kebal untuk rempuh pagar (rumah Ibrahim Libya)," katanya.
 
Memali satu peristiwa yang tak dapat dimaafkan
 
Seorang lagi bekas tahanan ISA, Mohd Hassan Hj Salim, 79, mendakwa peristiwa Memali tercetus kerana bermotifkan politik dan bukannya isu pengganas.   
 
"Kalau disebabkan Angkara (Operasi Angakara), seperti kami yang ditahan di bawah Angkara selama dua minggu, selepas itu baru ISA...kesalahan jenayah. 
 
"Kalau betul nak ambil Ustaz Ibrahim, takkanlah sehingga tiga ribu lebih pasukan keselamatan dalam operasi itu.
 
"Sekatan dan kepungan di merata tempat. Kalau cara itu (kepung), tiga empat hari semua mesti menyerah, sebab bekalan makanan pun mesti habis. Kalau macam tu, tiada yang akan ditembak," katanya. 
 
Mohd Hassan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan saja bagi membela nasib mangsa yang terkorban, malahan nasib tahanan yang terpaksa menghabiskan masa berbulan-bulan di kem tahanan.  
 
"Yang mangsa seramai 156 orang ditahan masih belum selesai, terbenam. Jadi kalau boleh dibuka semula, lagi bagus, kita sokong,"ujarnya.
 
Warga emas itu juga secara peribadi berkata, dirinya tidak dapat memaafkan kerajaan pada ketika itu yang sanggup melakukan tindakan zalim terhadap penduduk kampung. 
 
"Memang kes Memali ini tak dapat dimaafkan. Siapa saja yang terlibat dengan Memali ini, tak dapat dimaafkan. Cuma kita lupa, kita marah polis pada awalnya, tapi polis ini di bawah arahan. Kerja mereka, mereka terpaksa buat (ikut arahan). Tapi yang bertanggungjawab, di atas sana yang mengarahkan. Yang itu yang bertanggungjawab.
 
"Kita ucap terima kasih kepada pihak yang buka balik kes ini supaya ketengahkan semula. Tak kira siapa yang salah sama ada Dr Mahathir atau siapa pun, itu kita serahkan kepada keadilan. Tapi dia pada masa itu perdana menteri, dan dia bertanggungjawab. Itu saja," akhiri beliau. 
 
 

Tiada ulasan: