HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Ogos 2017

Pas konsisten tiada hubungan dengan PH, kata Mohd Amar

MALAYSIA DATELINE

Mohd Amar Nik Abdullah


Pas menegaskan pendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti gabungan Pakatan Harapan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar  Abdullah berkata, tidak timbul persoalan Majlis Presiden Pakatan Harapan membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Pas.

"Kita sudah buat keputusan tidak ada apa-apa dengan PH. Jadi tidak timbul mereka buat keputusan untuk tidak bekerjasama sebab kita sudah buat keputusan dari awal lagi, itu kena jelas.

"Kita tidak akan bincang kerana dia (PH) ada DAP dan PAN, malah Bersatu pun daripada awal lagi tiada hubungan rasmi," katanya dalam satu kenyataan semalam,selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu.

Mohd Amar turut menegaskan keputusan Pas itu dibuat sebelum Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai Pakatan Harapan.

Pada Selasa Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan tidak mengadakan kerjasama dengan Pas termasuk kemungkinan berhadapan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya depan.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan  berkata, Pas sudah bersedia menghadapi situasi berkenaan bahawa akan berlaku pertandingan tiga penjuru selepas parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

"Pertembungan sama ada empat penjuru atau tiga penjuru, kita memang sudah bersedia, menang kalah itu kehendak Tuhan,  ia senario yang dijangkakan,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.net.

Tiada ulasan: