THE MALAYSIAN TIMES
SEREMBAN: Seramai 1,256 pelajar sekolah dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak enam bulan pertama tahun ini, kata Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Abdul Rahman Hamid.
Beliau berkata ini berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka dalam pemeriksaan yang dijalankan AADK di sekolah-sekolah.
“Dari kalangan pelajar sekolah ini walaupun masih terkawal, tetapi dianggap serius kerana bilangan itu semakin meningkat dibandingkan dengan tahun lalu.
“Kami kesan pelajar-pelajar ini merupakan penagih baharu. Meskipun baru terlibat, kami tetap berikan kesedaran melalui program-program yang dijalankan supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada terus bergelumang dengan najis dadah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NoU) antara AADK Negeri Sembilan dan Kolej Cosmopoint Seremban di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah AADK Negeri Sembilan Ismail Ahmad Khairi.
Abdul Rahman berkata sekolah-sekolah yang didapati pelajar mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah dikategorikan sebagai sekolah berisiko dan justeru itu, AADK mengambil tindakan berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengatasi masalah itu
“Pihak kerajaan mengganggap serius perkara ini dan tindakan serius akan diambil dengan menggerakkan program-program yang sepatutnya dibuat dalam kalangan pelajar yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata pelajar yang positif dadah ini akan di tempatkan di bawah program ‘Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS)’ dan program Intelek Asuhan Rohani (Pintar).
Sementara itu, pada tahun ini didapati bilangan paling ramai pelajar terlibat penyalahgunaan dadah adalah di Kedah dan bagi tempoh enam bulan pertama ini juga, AADK mengesan 337 pelajar
Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Majlis menandatangani NoU)antara AADK Negeri Sembilan dan Kolej Cosmopoint Seremban itu bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan tentang kesan dadah kepada golongan belia di samping menerapkan semangat kesukarelaan dalam diri pelajar melalui penyertaan program-program komuniti yang dianjurkan AADKNS.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan