Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengakui terdapat “kempen senyap” yang bertujuan menyebarkan “tuduhan palsu” bahawa dirinya cuba menimbulkan kekacauan di dalam parti.
The Star Online memetik Ahli Parlimen Pandan itu mengesahkan bahawa rakan partinya, Latheefa Koya cuba mengaitkan dirinya dengan “Geng Ponorogo”.
“Saya tahu ada kempen senyap terhadap saya dalam PKR oleh sekumpulan kecil yang menuduh saya dibeli oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memecah-belahkan PKR.
“Ini sebagai pertukaran jaminan kebebasan (dan saya) tidak akan ke penjara,” katanya yang dipetik akhbar itu sambil menambah dirinya berdepan dengan banyak kes mahkamah.
Rafizi, bagaimanapun, berkata, beliau tidak merancang untuk melayan serangan Latheefa yang adalah anggota majlis kepimpinan pusat PKR.
Katanya, seluruh dunia tahu bahawa tuduhan itu tidak benar. Sebelum itu, Rafizi dilaporkan gelak apabila disoal sama ada beliau menjadi sasaran Latheefa, dan berkata “ini agak jelas.”
Latheefa seorang peguam sejak beberapa hari lalu, membidas Rafizi melalui catatan di Facebook atas dakwaan cuba menjejaskan kestabilan parti, serta menyindir kononnya beliau adalah agen Umno. Walau bagaimanapun, beliau tidak menyebut sebarang nama.
Serangan semakin memuncak selepas Rafizi menyelar rundingan berterusan PKR dengan PAS dan mencadangkan sebuah kongres khas diadakan untuk memuktamadkan kerjasama kedua-dua parti itu.-MK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan