Roketkini.com
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelar kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mahu membuli rakyat negeri itu dengan pelbagai ugutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seperti dilaporkan media mengugut rakyat Pulau Pinang kononnya negeri itu bakal kehilangan status peneraju sektor kewangan, pelaburan dan industri jika tetap memilih HARAPAN dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun Ketua Menteri, Lim Guan Eng melihat ucapan Rahman sebagai pengakuan secara tidak langsung terhadap kejayaan HARAPAN memulihkan Pulau Pinang sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.
“Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan pelaburan yang kukuh sebanyak 73 peratus dalam sektor pembuatan dalam tempoh sembilan tahun antara 2008 dan 2016 dengan jumlah RM59 bilion berbanding tempoh sembilan tahun antara 1999 hingga 2007.
“Malah, peluang pekerjaan baru meningkat sebanyak 15 peratus dengan pertambahan 139,133 pekerjaan baru bagi tempoh 2008-2016 berbanding tempoh yang sama antara 1999-2007 dengan 121,511 pekerjaan baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Setiausaha Agung DAP itu turut menyelar Rahman yang melakukan serangan peribadi terhadapnya dengan mempolitikkan isu pelantikannya sebagai pengerusi beberapa agensi negeri seperti PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
“Ini adalah serangan tipikal bersifat dwi-standard BN sedangkan kerajaan negeri BN sebelum ini telah menggubal undang-undang bahawa agensi-agensi negeri berkenaan akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri.
“Kenapa Menteri Besar BN boleh mempengerusikan agensi negeri mereka, tetapi di Pulau Pinang tidak boleh?
“Lim Guan Eng tidak akan dibuli untuk menjadi ketua menteri UMNO, tetapi akan berani berdepan dengan BN sebagai Ketua Menteri rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan