HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Ogos 2017

Remaja cedera didakwa dipukul warden asrama pemulihan

 
Seorang aktivis yang membantu keluarga remaja berusia 17 tahun itu mendakwa dia dibiarkan dalam lokap selama 2 hari, selepas didakwa dipukul di Asrama Akhlak Pokok Sena, Kedah.


warden-beat-3


GEORGE TOWN: Seorang remaja berusia 17 tahun sedang bertarung nyawa selepas dia didakwa diserang seorang warden di sebuah asrama pemulihan di Pokok Sena, Kedah, minggu lalu.

Aktivis hak asasi manusia, Asiah Abd Jalil berkata, seorang pekerja di Asrama Akhlak Pokok Sena yang menemui pemuda itu dalam keadaan “lemah”, menghantar dia ke Hospital Sultanah Bahiyah di mana doktor cuba menstabilkan keadaannya.

Beliau mendakwa remaja kelahiran Langkawi itu diserang 5 hari lalu dan dibiarkan dalam sebuah lokap tanpa mendapat sebarang rawatan selama 2 hari, sebelum pekerja terbabit menemuinya.

“Urinnya berdarah dan dia kini mendapat rawatan di hospital. Doktor mengesahkan jika dia tidak dibawa ke hospital untuk dirawat, dia mungkin sudah maut.

“Doktor bertegas untuk membuat laporan polis disebabkan tahap kecederaan remaja itu,” katanya kepada FMT.

Asiah mendakwa warden itu masih “bebas” di asrama berkenaan, walaupun laporan polis sudah dibuat.

“Laporan polis itu dibuat mangsa sendiri walaupun dia dalam keadaan lemah. Pegawai penyiasat datang ke hospital untuk mengambil butirannya.”

Asiah turut mendakwa pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menjawab panggilannya secara kasar ketika beliau menghubungi polis bagi pihak keluarga remaja itu.

“Pegawai itu memberitahu kami ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri sudah mengarahkan siasatan dalaman dijalankan ke atas kes itu. Tetapi sehingga hari ini, tiada sebarang tindakan diambil.”

Beliau berkata, remaja yang berasal dari keluarga miskin itu, dimasukkan ke asrama terbabit selepas dia didakwa di Mahkamah Tinggi Alor Setar atas dakwaan menjual dadah.

Remaja itu didakwa memiliki dadah di bawah Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara minimum 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan.

“Remaja itu mengaku tidak bersalah kerana dia dipaksa menjual dadah oleh lelaki lain. Dia masih direman sementara menunggu perbicaraan. Dia dimasukkan ke pusat itu kerana merupakan seorang juvana.”

Sementara itu, seorang jurucakap di asrama itu menafikan dakwaan mangsa didera, sebaliknya remaja itu dirawat kerana dia sakit.

“Dia demam. Dia sekarang okey dan sudah dibenarkan keluar (hospital),” kata seorang lelaki bernama “Johari” apabila FMT menghubungi talian umum asrama terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi FMT berketa, beliau akan menyemak perkara itu.

Pada 18 November 2016, Bernama melaporkan Mohamad Shukri Kassim, 17, maut dipercayai dipukul sekumpulan penghuni di Asrama Akhlak Pokok Sena.

Shukri yang dimasukkan ke asrama itu kerana didakwa terbabit dalam kes pecah rumah, ditemui mati dalam biliknya oleh seorang warden.

Hasil bedah siasat mendapati remaja itu maut akibat kecederaan di kepala dan perut akibat dipukul objek tumpul.

Polis percaya Shukri terbabit dalam pergaduhan selepas dia didakwa mengambil seketul ayam goreng milik penghuni lain.

Seramai 10 penghuni asrama itu yang berusia 14 hingga 17 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: