HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Ogos 2017

Ekonomi tumbuh tapi tak tersebar

 
 
Oleh Datuk A Kadir Jasin

KALAU ikut perangkaan rasmi, memang benarlah ekonomi negara kita kembang pesat dalam suku kedua (April hingga Jun) tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 5.8 peratus.

Dengan sendirinya kadar ini cukup menggalakkan apatah lagi kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran. Secara kasar ia menggambarkan pemulihan dan pengukuhan ekonomi.

Jadi saya tidak salahkan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, kalau beliau begitu gembira dan bangga dengan angka itu. Secara kasarnya ia cukup memberangsangkan.

Tetapi, apabila angka-angka yang positif itu diterjemahkan kepada ringgit dan sen, kesannya kepada rakyat jelata tidaklah sebesar mana.

Sebaliknya rakyat jelata terus dibebani oleh faktor-faktor negatif seperti kenaikan kos sara hidup, upahan yang membeku, produktiviti yang rendah dan pengangguran yang meningkat.

Jabatan Perangkaan melaporkan yang dalam bulan Jun bilangan penganggur naik 1.2 peratus kepada 507,700 berbanding setahun lalu. Kadar purata pengangguran naik kepada 3.4 peratus berbanding 3.28 peratus antara 1998 dan 2017.

Yang amat membimbangkan ialah peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia, khususnya yang memiliki ijazah dan diploma. Satu kajian Bank Negara mengenai pengangguran remaja dan pemuda mendapati 61 peratus daripada penganggur pada tahun 2015 berumur di antara 15 hingga 24 tahun.

Tidak hairanlah kalau isu kemiskinan kanak-kanak, remaja dan pemuda menjadi semakin mendesak.
Rakyat jelata umumnya tidak merasa kesan positif pertumbuhan ekonomi kerana sumber-sumber yang menyumbang kepada perkembangannya tidak menyentuh sektor di mana mereka mencari makan dan hasil pertumbuhan itu pula tidak meresap turun kepada mereka.

Ahli ekonomi melabelkan keadaan ini sebagai pertumbuhan tanpa pengagihan. Hal inilah yang menyebabkan jurang kekayaan semakin meluas di mana yang kaya menjadi bertambah jaya dan yang miskin bertambah miskin seperti didedahkan oleh penyelidik dan perunding ekonomi bebas, Dr Muhammed Abdul Khalid, dalam bukunya The Colour of Inequality.

Kesan pertumbuhan ekonomi ini akan hanya dirasai oleh rakyat terbanyak jika disertai oleh pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan kadar upahan dan kestabilan harga pengguna.

Jadi saya tidak hairan sikit pun apabila banyak pihak mempertikaikan keberkesanan pertumbuhan ekonomi yang diumumkan oleh Bank Negara itu. Sebaliknya saya berasa cadangan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) supaya pertumbuhan ekonomi turut diukur dalam Dolar Amerika ada logiknya.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, ukuran mengikut dolar adalah logik kerana Malaysia negara perdagangan dan mata wang utama perdagangan antarabangsanya adalah dolar. Perdagangan antarabangsa adalah antara sumber utama pertumbuhan ekonomi.

Lim berkata, pengukuran KDNK menggunakan dolar akan memberikan gambaran yang lebih tetap. Dalam perkiraan beliau, KDNK semasa sebenarnya lebih kecil kerana kejatuhan nilai ringgit.

Kata beliau: “KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Tetapi itu dalam nilai ringgit. Jika kita kira ikut Dolar Amerika, KDNK sebenarnya kecut 3.3 peratus sebab kadar tukaran ringgit jatuh sembilan peratus.”


Dalam bahasa yang mudah, kita kena bayar sembilan peratus lebih tinggi untuk barangan import. Walaupun barangan kilang kita laku kerana nilai ringgit jatuh, tetapi pendapatan kita dalam bentuk Dolar Amerika kecil dan harga import kita tinggi.

Sebab itulah tugas Bank Negara memastikan kestabilan ringgit sangat penting. Apabila nilai ringgit stabil, harga barang dan perkhidmatan pun stabil.

Atas dasar itulah semua bank negara di dunia terlibat dengan perniagaan tukaran mata wang (forex).
Saya yakin kalau suruhanjaya diraja yang sedang menyiasat operasi forex Bank Negara tahun 1990-an faham apa yang mereka lakukan, aspek menjaga kestabilan kadar tukaran ringgit adalah sangat penting.

Kita tengok macam mana dalam masa tiga tahun - dari 30 Jun 2014 kepada 30 Jun 2017 - rizab antarabangsa Bank Negara merudum AS$32.94 bilion (kira-kira RM141.64 bilion).

Pada 30 Jun 2014, rizab berjumlah AS$131.86 bilion (kira-kara RM566.99 bilion) tetapi pada 30 Jun 2017 ia jatuh kepada AS$98.92 bilion (RM425.35 bilion).

Kita tidak tahu secara sahih apakah punca kemerosotan itu. Ada ramalan kata kerana Bank Negara guna rizab untuk pertahan nilai ringgit dan ada yang kata untuk bayar balik hutang luar negara.

Boleh jadi kita ambil kesempatan daripada sidang suruhanjaya diraja forex sekarang untuk dapat kepastian apa punca sebenar susutan AS$32.94 bilion itu. Ini jauh lebih besar daripada jumlah yang sedang disiasat. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

 

Tiada ulasan: