HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Ogos 2017

Kerugian cecah RM9 bilion buat gabenor BNM terkejut – bekas pembantu khas

THE MALAYSIAN TIMES
 
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini mengenai kerugian matawang asing Bank Negara Malaysia lebih dua dekat lalu menyaksikan seorang bekas pembantu khas gabenor bank pusat mengaku terdapat “kerugian sangat besar” telah terjadi.
 
Liew Siew Kuan, bekas pembantu khas kepada Tan Sri Jaafar Hussein yang bersara sebagai gabenor BNM pada 1994, berkata beliau diminta memeriksa akaun bank pusat itu.
 
“Saya tidak ingat tahun bila, tetapi Jaafar Hussein maklumkan pada saya supaya memeriksa akaun BNM.
 
“Selepas semakan dibuat, terdapat kerugian sangat besar dialami BNM melibatkan urusniaga forex dan selepas itu, Jaafar mengarahkan saya melakukan semakan semua akaun,” katanya ketika memberi keterangan prosiding RCI di Istana Kehakiman di sini hari ini.
 
Liew berkata, Jaafar terkejut setelah diberitahu BNM mengalami kerugian mencecah RM9 bilion.
Jaafar meninggal dunia pada 1998.
 
Liew yang juga merupakan saksi ke-11 siasatan RCI itu berkata, Jaafar meminta beliau untuk memaklumkan hal berkenaan kepada Tan Sri Ishak Tadin iaitu ketua Audit negara pada ketika itu supaya reputasi negara dapat diselamatkan.
 
“Saya jumpa Ishak dan beritahu beliau, untuk selamatkan reputasi Malaysia, selamatkan negara,” katanya, sambil menambah kerajaan ketika itu tidak mempercayai kerugian sebanyak itu boleh berlaku.
 
Manakala semalam, bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, P. Kanason Pothinker memberitahu wujud “pihak atasan” mengarahkannnya tidak campur tangan susulan kerugian yang dialami mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM).
 
katanya lagi, beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai dari Pejabat Peguam yang urusniaga forex itu dibuat tidak mengikut proses serta tidak mengikut syarat Akta Bank Negara 1958.
 
Hari ini merupakan prosiding keempat RCI untuk menyiasat kes kerugian BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang asing sekitar tahun 1990-an.
 
Kerugian itu berlaku semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu merupakan menteri kewangan.
 
Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.
 
 

Tiada ulasan: