HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Ogos 2017

Rakyat Bijak Menilai

 
 
Oleh Syed Ibrahim Syed Noh

Negara akan menyambut Hari Kebangsaannya pada hari Khamis 31 Ogos ini di sebalik latar belakang kemenangan dan kejayaan Sukan SEA yang ke-29. Tahniah kepada rakyat Malaysia dan mereka yang menjayakannya!

Sebagaimana boleh diramalkan, kedua-dua peristiwa penting ini bakal menaikkan imej negara di mata rakyat kerana semangat kemerdekaan dan mood positif yang mahu ditonjolkan. Maka apakah Datuk Seri Najib akan bubar parlimen dengan segera untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14?

Soalan yang tidak kurang pentingnya ialah apakah rakyat kaitkan mood positif Hari Kebangsaan dan Sukan SEA dengan sokongan kepada Umno BN dalam PRU-14?

Pada pendapat saya, ia tidak semudah itu kerana rakyat bijak menilai. Sementara faktor mood positif itu tidak dinafikan boleh memihak kepada Umno BN sebagai parti pemerintah namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira. Malah soal apakah mood positif itu boleh diterjemahkan kepada undi juga perlu dijawab dengan jujur bukan dengan “hooha”.

Lagi pun, bukan sewajarnya pentas sukan boleh dipolitikkan dengan kemasukkan Menteri Belia dan Sukan dalam acara polo Sukan SEA apatah lagi menagih sokongan undi atas kesungguhan atlet mencipta kemenangan.

Secara peribadi, saya kagum dengan komitmen Khairy Jamaluddin tetapi saya percaya sebagai seorang bertaraf Menteri dan tuan rumah Sukan SEA, beliau seharusnya tidak terlibat sebagai peserta. Lebih baik tumpu kepada penganjuran dan penyelesaian masalah yang timbul. Selain isu bendera Indonesia yang terbalik, antara lain terdapat rungutan tentang urusan pengangkutan skuad sukan, kesukaran media mendapatkan maklumat pertandingan dan keputusan terkini.

Hakikatnya, isu keperitan hidup rakyat belum terungkai dengan masalah kos sara hidup yang tinggi, harga barang yang melambung dan cukai GST yang menekan. Begitu juga isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih menjadi misteri bagaimana wang dana strategik boleh mengalir keluar ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Jho Low, Riza Aziz dan ramai lagi. Ini semua tidak boleh dilupakan dan tidak akan hilang daripada radar rakyat dan antarabangsa.

Justeru walaupun mood positif itu benar atau “real” dan atlet Sukan SEA negara bakal berjaya meraih emas terbanyak dalam sejarah negara, namun saya percaya mereka lakukannya bukan kerana Datuk Seri Najib atau Khairy Jamaluddin atau mana-mana ahli politik. Mereka lakukannya kerana mereka sayangkan negara dan sumbangan mereka boleh menaikkan imej negara yang telah rosak akibat kepincangan pemimpin politik khususnya Umno BN. Untuk itu sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada atlet, jurulatih dan penyokong.


Atas sebab itu juga, saya percaya jika Malaysia ditadbir urus dengan baik oleh kepimpinan negara yang amanah dan berwibawa tanpa rasuah dan penyelewangan, dengan wujudnya semak dan imbang yang berkesan, dengan pengurusan ekonomi yang mampan serta agihan kekayaan yang saksama di mana keselamatan, kesihatan dan kebajikan rakyat terpelihara, maka rakyat akan lebih-lebih lagi berbesar hati memberi sumbangan tidak kira dalam sukan, pendidikan atau sains dan teknologi. Malah saya yakin, negara dan rakyatnya boleh mencapai kecemerlangan yang lebih baik dalam sukan atau apa juga bidang lain.

Sebagai rakyat yang patriotik, kejayaan negara mencapai kemerdekaan dan kegigihan menjulang kemenangan dalam sukan amat bermakna tetapi ia tidak memadai selagi pemimpin negara tidak patriotik membela nasib rakyat. Ia wajib diterjemahkan kepada kesejahteraan dan kemajuan yang menyeluruh serta mendasar buat rakyat.

Dengan erti kata lain, ia tidak boleh dijustifikasi hanya dengan angka-angka rasmi ekonomi, penganalisis kewangan, perunding antarabangsa atau projek mega yang manfaatnya belum tentu diraih tetapi propagandanya mega hebat. Malah, lebih buruk lagi jika projek atau inisiatif mega itu rupa-rupanya lubuk rasuah dan penyelewengan.

Dasar yang benar-benar berpaksikan rakyat wajib ditawarkan supaya masalah atau isu rakyat dan negara dapat ditangani dengan tuntas.

Selama ini dasar yang dibawa oleh parti pemerintah telah tersasar daripada matlamat asal sehingga bukan sahaja rakyat tidak mendapat faedah daripadanya tetapi terpaksa menanggung susah dan derita akibat daripadanya.

Contohnya seperti apa yang berlaku kepada FELDA. Ditubuhkan untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi peneroka tetapi tidak berjaya malah ada yang menangguk di air keruh daripada hasil dan dana FELDA serta peneroka. Pemimpin silih berganti tetapi nasib peneroka tidak terbela.

Begitu juga dengan cukai GST. Semua rakyat tidak terkecuali daripada cukai tersebut tetapi faedahnya tidak kembali kepada rakyat. Sebaliknya rakyat terpaksa berdepan dengan harga barang yang tinggi dan kuasa membeli yang rendah.

Apa juga dasar yang tersasar daripada berpaksikan rakyat telah merampas kebahagiaan buat rakyat. Pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti komponennya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah tekad membela rakyat dan bermuafakat untuk membuat perubahan dalam PRU-14. Pembelaan rakyat berpandukan kepada prinsip keadilan sosial yang merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama menjadi teras kepada tawaran oleh PH.

Meskipun lanskap politik negara agak rencam, dinamik dan tidak sunyi daripada krisis namun tanggungjawab untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui PH wajib diperkukuhkan. Ramai yang telah mengatakan hanya dengan sebuah pakatan pembangkang yang berwibawa maka BN boleh ditumbangkan. Justeru PH tidak boleh dilihat lemah atau celaru.

Krisis akan datang dan pergi sama ada ditimbulkan oleh lawan atau daripada dalam parti sendiri namun tumpuan kepada isu rakyat tidak boleh sama sekali dikesampingkan. Benar, krisis dan perbezaan pendapat mungkin tidak manis ditonton luar namun kadangkala ia tidak boleh lagi dibendung melainkan dengan aksi dan tindakan yang telus.

Selagi ada panduan pimpinan yang bijaksana dan kejelasan tanggungjawab berpegang kepada prinsip perjuangan yang mengatasi kepentingan peribadi dan kuasa semata-mata, maka itulah yang akan membezakan parti-parti dalam PH dengan Umno BN. KEADILAN wajib dilihat begitu malah relevan dalam menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang. Rakyat akan menilai semuanya.

* Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat 

Tiada ulasan: