HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Ogos 2017

Nik Nazmi perlu rujuk PKR Kelantan sebelum pecat Ketua AMK

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua AMK PKR Nik Nazmi Nik Ahmad perlu menilai semula sama ada tindakan beliau yang memecat Ketua AMK Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran mengikut peraturan parti atau tidak.
 
Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Nik Nazmi perlu merujuk tindakan itu selepas Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir hari ini menyatakan pemecatan tersebut tidak dilakukan mengikut proses demokrasi.
 
"Sewajarnya Nik Nazmi melihat balik keputusan itu dan memperbetulkan sekiranya keputusan itu tidak mengikut peraturan parti.
 
"Kalau ada pandangan daripada pengerusi negeri tentang hal ini, sudah tentu ada perkara yang tidak kena dalam hal pemecatan ini dan termasuk pelantikan yang baru.
 
"Jadi, apabila ada satu proses atau pandangan yang keras daripada negeri maka sewajarnya Ketua AMK Pusat melihat kembali keputusan ini dan melakukannya mengikut peraturan parti yang telah digubal semasa di dalam kongres parti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pembatalan ke atas pemecatan Ketua AMK Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran oleh pengerusi PKR negeri itu pagi tadi.
 
Ab Aziz mendakwa beliau terkejut dan kesal ekoran pemecatan itu dibuat melalui proses yang tidak demokratik dan tidak wajar.
 
Sekaligus beliau tidak mengiktiraf Ketua AMK Kelantan yang baru Mohd Khairul Amin Abd Rahman yang telah dilantik Nik Nazmi. 
 
Sementara itu, Shamsul yang juga bekas ketua AMK mengingatkan Nik Nazmi sepatutnya mengikut beberapa prosedur yang ditetapkan sebelum melantik mana-mana ketua pemuda negeri.
 
"Kita mempunyai peraturan, peraturan parti memperuntukan Ketua AMK Pusat sebelum membuat pelantikan Ketua AMK negeri, mesti berbincang dengan pengerusi Keadilan (PKR) negeri.
 
"Kalau pandangan negeri bahawa pemecatan itu tidak sah, maka pada pandangan negeri saya yakin Ketua AMK negeri itu masih lagi (Mohd) Rizal.
 
Terdahulu, Nik Nazmi memaklumkan pemecatan Mohd Hafidz berkuat kuasa serta merta dan digantikan dengan Ketua Pemuda PKR Tumpat.
 
Ia selepas Jawatankuasa AMK Kelantan mengumumkan hilang sokongan terhadap Mohd Hafidz dan mendesak beliau supaya meletak jawatan.
 
Namun pada hari ini, Ab Aziz mengambil pendirian untuk melantik kembali Mohd Hafidz selaku koordinator untuk sayap AMK Kelantan. 
 
Malah Ab Aziz menggesa semua AMK Cabang di Kelantan untuk memberikan kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan untuk memperkukuhkan parti di negeri itu. 


Tiada ulasan: