HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Ogos 2017

PKR: Kaji semula dasar, undang-undang jenayah buli

MALAYSIAKINI


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mencadangkan sebuah dasar dan akta antibuli yang melibatkan pembudayaan dan sahsiah institusi keluarga harus dirangka oleh kerajaan bagi menangani jenayah buli dalam kalangan murid sekolah.

"Pekeliling SPI bil.8/ 2011 tentang Pengurusan Keselamatan di Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia harus dikaji semula bagi menerapkan elemen antijenayah buli yang efektif dan berkesan.

"Begitu juga dengan Tatacara Disiplin Murid Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 yang dilihat tidak berkesan dalam menangani jenayah buli," kata beliau.

Anggota parlimen Lembah Pantai itu merujuk kepada kes seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang menjadi mangsa pembunuhan akibat dibelasah murid tahun enam di Kapit, Sarawak minggu lalu.

Nurul Izzah berkata kes itu wajib mendapat perhatian serius oleh kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam masyarakat.

"Ternyata, insiden buli yang menyayat hati ini (menjadi) bukti terkini bahawa persekitaran sekolah di Malaysia membahayakan dan tidak selamat buat anak-anak kita," jelas beliau dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Kaji persekitaran sekolah

Perkara 19 dalam Konvensyen Hak bagi Kanak-kanak UNICEF, kata Nurul Izzah perlu dijadikan penanda aras di dalam mengkaji semula kesemua peraturan dengan sasaran penyelesaian tuntas terhadap punca permasalahan jenayah buli.

"Kerajaan tidak boleh terus menafikan dan berdiam diri dalam membela keselamatan murid-murid di sekolah.

"Tindakan kerajaan yang pasif dan seakan termangu-mangu perlu diberi nafas reformasi dalam menangani jenayah buli," tambah beliau.

Dalam kenyataan media itu lagi, Nurul Izzah mendesak agar pihak kerajaan memberi keutamaan dalam mengkaji semula sistem peraturan dan persekitaran sekolah di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar.

"Sekolah yang terkesan sewajibnya ditutup untuk memberi peluang kepada reformasi menyeluruh dalam mengubah persekitaran yang melibatkan semua pihak.

"Kehilangan seorang insan kecil sewajibnya dirasakan oleh kesemua kita - yang punyai kebertanggungjawaban," tegasnya.

Kelas sifar buli

Nurul Izzah turut mengimbau kejadian enam orang pelajar sekolah rendah yang selesai menduduki UPSR membuli rakan sekelas mereka di sebuah sekolah di Alor Star, Kedah pada 2015.

"Kes buli di Kapit juga melibatkan calon UPSR yang bakal menghadapi peperiksaan pada September ini.

"Jelas menunjukkan bahawa murid sekolah rendah seawal usia 12 tahun berpotensi menjadi pembuli," kenyataan itu dipetik lagi.

Nurul Izzah yang juga pengarah bersama pilihan raya PKR turut mencadangkan agar sebuah konsep ‘Kelas Sifar Buli’ diperkenalkan di setiap sekolah.

"Satu peraturan antijenayah buli perlu dilaksanakan dengan menyenaraikan perbuatan buli dalam kelas.

"Pendekatan ini menerapkan kepribadian yang jelas kepada setiap guru dan murid untuk tidak berkompromi dengan jenayah buli di dalam kelas mahupun di pekarangan sekolah," katanya.

Kementerian Pelajaran dalam suatu kenyataan pada awal Ogos ini menyebut pihak kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan sekolah yang menyembunyikan sebarang salah laku termasuk kes buli di sekolah masing-masing.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Khir Mohamad Yusof berkata pengetua dan guru besar perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang kes salah laku sedemikian di sekolah mereka.

Sementara itu Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis pada sidang parlimen lalu berkata peratusan murid yang terlibat dalam salah laku buli adalah terkawal bagi tempoh 2012 hingga tahun lepas.

Rekod kementerian itu menunjukkan bahawa peratusan pelajar yang melakukan salah laku buli pada 2012 dan 2013 adalah 0.08 peratus, turun kepada 0.06 peratus pada 2014 dan 2015, serta 0.07 peratus pada tahun lepas.


Tiada ulasan: