HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Ogos 2017

‘Jangan bangga beri insentif RM500 kepada jemaah haji’ – Zahid

Muhammad Azizul Osman
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan jemaah haji pada Majlis Pelepasan Terakhir Jemaah Haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

KELANA JAYA – Pimpinan negeri diminta tidak memanipulasikan pemberian subsidi negeri masing-masing terhadap jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah itu sebagai senjata politik.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi, ada negeri yang cuba mempolitikkan isu ini dengan memberikan insentif RM500 kepada jemaah haji dengan membandingkan subsidi Lembaga Tabung Haji.

“Jangan politikkan soal ini. Kalau ada negeri beri RM500 alhamdulilah terima kasih jangan bangga dengan hanya beri RM500 tetapi kerajaan persekutuan beri RM9, 570,” katanya dalam ucapan pelepasan 438 jemaah haji ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya hari ini.

Zahid dipercayai merujuk langkah Kerajaan Negeri Selangor memberikan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah negeri itu yang bakal menunaikan haji ke Makkah untuk tempoh terdekat.

Ia dilancarkan Julai lalu, sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan Menteri Besar Incorporated (MBI) kepada bakal jemaah haji muassasah Selangor.

“Negara kita (jemaah haji) cuma bayar RM9,980. kalau ada sebuah negeri yang memberi hanya RM500 kepada jemaah haji dan mengatakan pemberian itu terlalu bagus.

“Ingatlah apa Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan buat apabila subsidi diberikan sebab faktor keuntungan dilaksanakan urusniaga tabung haji,” tambah Zahid di hadapan kira-kira 400 jemaah haji.

Terdahulu, empat ahli Kabinet dan seorang Menteri Besar turut bersama-sama 484 jemaah berlepas ke tanah suci hari ini.

Antaranya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadzillah Yusof, dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah bersama pasangan masing-masing.

Hadir menyaksikan pelepasan jemaah haji 1438H adalah Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang akan turut bersama jemaah menteri menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Penerbangan MAS KT112 adalah kedua terakhir dan akan tiba jam 9.10 malam waktu Mekah.  -MalaysiaGazette.



Tiada ulasan: