HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Ogos 2017

Rohingya: Mapim, PAS gesa kerajaan usir rakyat Myanmar

 
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan PAS Relief mahu kerajaan mengambil tindakan tegas berikutan keganasan terbaharu terhadap etnik Rohingya di Rakhine baru-baru ini.


mapim-myanmar


PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), PAS Humanitarian Affair & Relief Centre (PAS Relief) dan Food for Flotilla Myanmar hari ini menggesa kerajaan mengusir rakyat Myanmar di negara ini sebagai jawapan kepada keganasan terbaharu terhadap etnik Rohingya di Rakhine baru-baru ini.

Menurut data Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, terdapat kira-kira 145,652 pekerja asing warga Myanmar di negara ini pada 2015.

“Kerajaan dulu sudah buat pendirian tetapi sekarang berlaku lagi. Janganlah beretorik. Kalau begini rupanya, kita halau semua orang Myanmar dari Malaysia,” kata Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid lapor Harakahdaily, selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar hari ini.

“Ini sahaja jalan mengajar mereka, ini bukan soal kita tidak hormati,” tambahnya.

Memorandum bersama itu menuntut kerajaan Myanmar menghentikan serta-merta operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya, dan menarik balik sekatan terhadap NGO Islam yang mahu memasuki negara itu.

Keganasan terbaharu di Rakhine menyebabkan ribuan Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, selepas serangan terancang militan Rohingya terhadap pondok polis minggu lepas dijawab tentera kerajaan dengan tindakan balas yang ganas. Data satelit Human Rights Watch menunjukkan sekurang-kurangnya 10 kawasan di Rakhine terbakar, susulan operasi ketenteraan di negeri itu.

Dianggarkan 8,000 hingga 9,000 Rohingya dilaporkan berjaya meloloskan diri ke Bangladesh Khamis lepas, di mana etnik Islam minoriti itu berdepan penghantaran pulang.

Memorandum hari ini, menyusuli memorandum bantahan yang pernah dihantar sebelum ini, menggesa Myanmar menghormati Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean, menyediakan pampasan untuk kemusnahan harta dan kehilangan nyawa, dan memberi kerakyataan kepada etnik itu, yang dianggap pendatang “Bengali” oleh etnik Myanmar yang lain.

Azmi bagaimanapun mendakwa pegawai kedutaan enggan keluar menyambut delegasi mereka sebaliknya mengarahkan orang bawahannya. Hanya 5 individu, termasuk Azmi dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Sanusi Md Nor, dibenarkan masuk menyerahkan memorandum itu.

“Ini menunjukkan mereka sangat angkuh dan tidak mahu mendengar daripada sesiapapun. Kami tahu banyak resolusi yang dikeluarkan daripada OIC, UN atau Asean, mereka tidak peduli mereka tetap menghalau Rohingya,” katanya, lapor Harakahdaily.

Disember tahun lepas Umno dan PAS berkongsi pentas bagi menyatakan bantahan terhadap penindasan kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya. Ribuan memenuhi Stadium Titiwangsa bagi menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya anjuran NGO Islam.

Tiada ulasan: