HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Ogos 2017

PAS mungkin gagal di Selangor, ramal penganalisis politik

 
Jika tidak berpakat dengan PH, parti Islam itu tidak mampu memenuhi ikrar menghalang BN di Selangor.


faizal-selangor


PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata PAS tiada peluang menawan Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 kerana keputusannya tidak mahu bersama pembangkan lain melawan Barisan Nasional (BN).

Mereka turut mempersoalkan jaminan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memastikan BN tidak menawan semula Selangor, dengan merujuk pecahan undi pembangkang jika PAS dan Pakatan Harapan (PH) bertanding sesama sendiri selain BN.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim berkata parti itu akan terus mempertahankan negeri itu daripada Umno di samping bertanding di negeri yang mereka berjaya menang kerusi pada PRU ke-13.

Kenyataan itu di sebalik spekulasi rundingan peruntukan kerusi dengan PKR menjelang PRU.

Penganalisis politik, Dr Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, mustahil PAS boleh menawan Selangor tanpa sokongan parti PH, lebih-lebih lagi sekutunya dahulu dengan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP.

“Sebelum ini PAS mempunyai pakatan politik dengan mereka di mana itu memberi kelebihan memperoleh sokongan kaum Cina,” katanya, merujuk kepada gabungan pembangkang dahulu yang dibubarkan pada Jun 2015.

“Dulu, ianya satu strategi terbukti dan mereka berjaya beralih daripada sebuah parti daerah kepada parti nasional kerana ideologi mereka merentasi agama,” Faisal beritahu FMT.

Beliau menambah, parti Islam itu kini dilihat sebagai “satu kaum”, maka tidak mampu menawan Selangor yang mempunyai komposisi demografik yang pelbagai.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, satu-satunya cara PAS mengalahkan BN di Selangor adalah untuk mengadakan pakatan dengan parti lain, bukannya berlawan sesama sendiri di kerusi masing-masing.

Beliau berkata, ini akan mengelakkan undian daripada pembangkang berpecah lalu memberi peluang kepada kemenangan BN.

“Contohnya, jika PAS meletakkan calon pada kerusi PKR, penyokong di kawasan itu kemungkinan besar memilih PAS.

“Undian pembangkang akan terbahagi dan memberi kemenangan kepada BN memenangi negeri dengan undian populariti,” kata Ibrahim.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, kemenangan PAS yang agak besar di Selangor pada PRU lepas bukan sahaja kerana jenteranya, tetapi juga kerana sokongan DAP dan PKR.

“Ini kerana slogan mereka waktu itu, ‘PAS untuk semua’,” katanya.

Awang Azman menambah, pandangan Tuan Ibrahim membawa beban dan kepentingan besar kerana beliau dianggap pengganti Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS sudah menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor sejak PRU 2008 apabila menyertai pembangkang yang juga terdiri daripada PKR dan DAP, dan menawan negeri itu daripada BN.

Kini, DAP mempunyai bilangan kerusi paling banyak iaitu 14, diikuti PKR (13) dan Amanah (2).
Kedua-dua kerusi Amanah dimenangi calon yang bertanding di atas tiket PAS pada PRU 13.

Sementara itu, BN mempunyai 12 kerusi yang semuanya di bawah Umno, manakala PAS mempunyai 13 kerusi. Dua kerusi dipegang calon bebas.

Pada 24 Ogos, PAS mengumumkan rancangan bertanding di 42 kerusi negeri di Selangor, iaitu 2 kali ganda bilangan kerusi yang mereka bertanding pada PRU 13.

Tiada ulasan: