HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Ogos 2017

Kerajaan rancang wajibkan portal berita daftar dengan SKMM

 


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan portal berita dalam talian yang layak untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Menterinya Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata cadangan itu bertujuan untuk menjadikan portal media di negara ini lebih bertanggungjawab dan memudahkan SKMM melakukan pemantauan jumlah pengunjung ke portal terbabit.

Katanya perbincangan mengenainya kini di peringkat akhir sebelum ia dikemukakan kepada Peguam Negara menjelang akhir tahun ini.


“Pendaftaran akan dilakukan mengikut kriteria tertentu bagi menentukan sama ada portal media tersebut layak untuk didaftarkan atau tidak.

“Sebaik didaftar, semua portal berita akan tertakluk kepada undang-undang mengikut Akta Multimedia sekali gus memudahkan kawalan dan pemantauan dibuat menerusi SKMM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Instagram Merdeka 2017 #im60 (foto dan video) dan pelancaran album kumpulan Patriot.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Salleh berkata selain pendaftaran media cetak, pendaftaran media dalam talian juga diamalkan oleh negara lain termasuk Singapura.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan pelaksanaannya lebih lancar dan teratur selain mengadakan perjumpaan dengan pengendali media dalam talian.

Tiada ulasan: