Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pimpinan Amanah tidak pernah melindungi mana-mana individu
dalam soal penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bertujuan
menyiasat tragedi berdarah Memali.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata malah pimpinan Amanah yang
merupakan serpihan ahli PAS bersedia memberikan apa jua bentuk
kerjasama menjurus kepada keadilan siasatan tersebut sekiranya
diperlukan kelak.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS,
Nasrudin Hassan yang mendakwa pimpinan Amanah yang dahulunya antara
penggerak lantang memperjuangkan keadilan insiden itu namun kini dilihat
menjaga 'hati' individu tertentu.
"Bohong itu bohong. Bohong, bidaah itu.
"Apa pula kata kita tidak lantang dan kononnya kita nak mempertahankan
Dr Mahathir. Tidak ada kena mengena langsung. Sengaja nak buat omong,
nak keliru orang, nak buat kebencian pada parti Amanah. Itu sahaja.
"Kita memang sudah buat kenyataan rasmi. Timbalan Presiden kita buat
bersama dengan Presiden, dan saya Setiausaha Agung duduk sebelah. Kita
buat kenyataan bertulis. Apa lagi PAS nak bangkitkan soal ini," katanya
kepada Antarapos.
Anuar dalam pada itu turut membidas Nasruddin, yang katanya hanya
sekadar 'omong kosong' sahaja sedangkan beliau masih belum terlibat
aktif bersama PAS ketika peristiwa Memali itu berlaku.
"Kita tahu pemimpin Amanah yang pernah berada dalam PAS itu kita tidak tahu dia sudah masuk
"PAS ke belum lagi. Cuba tanya dekat dia, (Nasruddin) dia sudah masuk
PAS ke belum pada masa itu. Atau pun dia masih belajar lagi.
"Jadi sekarang ini saya rasa kalau nak buat RCI kita sokong dan akan
bekerjasama. Jika perlu kita akan pergi untuk berikan kesaksian apa yang
kita dalam peristiwa itu.
"Jadi tidak timbul. PAS tak payah nak bising-bising dalam soal ini.
Orang yang waktu itu tidak ada pun sebenarnya dalam PAS lagi sewaktu
peristiwa Memali nak bising sekarang ini," tambahnya.
Terdahulu, Nasrudin menerusi ceramahnya di Kangar kelmarin lantas
mengkritik pimpinan Amanah yang dakwa beliau bersikap hipokrit dan
menentang penubuhan RCI ekoran kini menganggotai Pakatan Harapan (PH)
yang turut disertai mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
selaku Pengerusi.
Dalam ceramah tersebut, beliau turut mengingatkan ketika
pemimpin-pemimpin berkenaan berada dalam PAS, mereka adalah antara
penggerak yang lantang memperjuangkan keadilan insiden berdarah 32 tahun
lalu itu.
Peristiwa Memali yang telah berlaku pada 19 Nov 1985 itu meragut 18
nyawa termasuk empat anggota polis dan ramai lagi cedera ketika polis
melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih
dikenali dengan nama Ibrahim Libya.
Peristiwa itu kembali hangat selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang mendakwa punca kekecohan tercetus ketika forum 'Nothing to Hide
2.0' adalah disebabkan jawapan Dr Mahathir yang tidak memuaskan
berkaitan peristiwa Memali.
Sebaliknya, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas ketua polis negara
Tan Sri Rahim Nor bertindak mengaitkan Ahli Parlimen Marang itu dengan
'Amanat Hadi' pada 1981 yang dianggap membawa kesan pada insiden itu
empat tahun kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan