HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Ogos 2017

Guan Eng elak jawab desakan SPRM

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng mengelak daripada menjawab berhubung desakan supaya beliau memohon maaf dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Hari ini, saya hanya boleh jawab satu isu sahaja iaitu mengenai isu tambakan laut di perairan Pulau Pinang yang dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Teknologi Jepun 2017, di sini, hari ini.
 
Jumaat lepas, SPRM telah memberi Lim tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataan yang dikeluarkannya yang berunsur fitnah.
 
SPRM menyifatkan kenyataan Lim bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai “penahanan haram” merupakan satu kenyataan berunsur fitnah.
 
Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata pihaknya terkejut dengan pengumuman bahawa kerajaan pusat tidak akan menyokong kerja-kerja tambakan laut di selatan negeri ini.
 
Beliau mengulas kenyataan Najib semasa majlis Jamuan Rakyat di Balik Pulau bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan menyokong projek tambakan laut di Pulau Pinang sekiranya ia akan memberi kerugian yang besar sehingga menjejaskan punca pendapatan rakyat di kawasan terlibat.
 
Perdana menteri juga berkata kerajaan persekutuan mempunyai pendirian dalam meluluskan sesuatu projek dan bukanlah menolak semata-mata atas dasar fahaman politik.
 
Lim berkata, “kerja-kerja tambakan laut di selatan negeri ini sedang dalam proses untuk dikaji oleh Jabatan Alam Sekitar, jadi biarlah projek itu ditentukan oleh kajian-kajian alam sekitar”.
 
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di daerah Barat Daya yang bernilai RM46 bilion bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.
 
 

Tiada ulasan: