Timbalan perdana menteri itu juga mengingatkan media
tidak hanya mengejar berita sensasi tetapi turut melaporan kejayaan
pihak penjara memulihkan banduan.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan masyarakat supaya tidak menghina bekas banduan kerana mereka juga satu aset pembangunan negara.
Menurut timbalan perdana menteri itu, masyarakat tidak seharusnya melihat penjara sebagai tempat menjatuhkan hukum, sebaliknya dilihat sebagai pusat pemulihan bagi mereka yang terlanjur melakukan kesalahan.
“Penjara bukan hanya tempat menghukum, penjara adalah tempat untuk melakukan pemulihan.
“Kita mahu mereka di luar penjara tidak pandang serong tapi berikan sokongan moral kepada bekas banduan untuk mereka bercampur semula dengan keluarga dan masyarakat sebab mereka sudah lalui pemulihan,” katanya di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata menerusi program pemulihan komuniti (CRP) yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia mampu memulihkan banduan yang bermasalah.
“Menerusi CRP, jumlah perlakuan jenayah berulang kini hanya 0.04% sahaja.
“Kita lihat daripada 17,081 yang diparol dari 2008 hingga Jun 2017, hanya 75 orang yang terjebak semula sebagai banduan berulang,” katanya dengan memberi contoh bekas banduan, Arun Vythilingam, 37, yang menjalani hukuman penjara 7 tahun berjaya dipulihkan menerusi CRP Gemas dan dilantik sebagai penyelia Ladang Nanas Diraja Negeri Sembilan.
Dalam ucapan sama, Zahid turut menegur segelintir pengamal media supaya tidak terlalu mengejar berita sensasi sehingga lupa melaporan berita kejayaan pihak penjara memulihkan banduan.
“Berapa ramai rakyat Malaysia yang iktiraf. Kalau cerita orang lari dari penjara itu dijadikan berita, tapi kalau cerita kejayaan banduan dipulihkan tidak buat berita. Yang buruk buat berita, yang baik tak buat berita.
“Saya tak salahkan wartawan yang ada di sini tetapi mereka yang tak datang ke KDN tapi suka cari salah KDN, pihak penjara dan lain-lain,” katanya sambil memaklumkan akan membawa pihak media melawat pusat CRP Gemas dan melihat sendiri bagaimana banduan dipulihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan