HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Januari 2018

Agenda Peribadi Azmin Kacau Pakatan Harapan Selangor





Muamar Qaddafi – Berbaki kurang 80 hari sebelum parlimen dibubarkan penyokong Pakatan Harapan (PH)1 dikhabarkan dengan berita kurang menyenangkan dari Selangor, memetik laporan dari The Malaysian Insight, rundingan kerusi Dun di Selangor masih belum berjalan walau hanya berbaki kurang seminggu tempoh untuk memuktamadkan pembahagian.

Apa yang lebih menarik, diberitakan yang menjadi punca kegagalan rundingan ini untuk berlangsung walaupun wakil parti AMANAH telah menulis surat kepada Pengerusi PH Selangor, merangkap Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk segera menubuhkan jawatankuasa rundingan adalah kerana pihak Azmin masih cuba untuk menarik kerjasama dengan Pas.

Alasannya, kerana kurang keyakinan bahawa PH mampu memenangi pilihan raya termasuk di Selangor tanpa Pas.

Saya secara peribadi merasakan alasan tersebut adalah alasan yang dibuat-buat, untuk menghalalkan usaha perundingan bersama Pas yang secara rasminya telah pun tertutup sejak pertengahan tahun lalu apabila Bersatu sah menyertai PH.

Alasan sebenar PKR Selangor “berkeinginkan” Pas adalah kerana bimbang tiada sokongan majoriti dari parti-parti lain untuk menyokong Azmin Ali kembali sebagai menteri besar Selangor sekiranya PH berjaya mengekalkan Selangor pada PRU14 akan datang.

Andaian tersebut sebenarnya lebih mendekati kebenaran, hujahnya; apabila turut dilaporkan bahawa PKR baru-baru ini telah menuntut untuk bertanding di 30 kerusi Dun Selangor daripada 56 kerusi Dun, sekiranya mereka percaya PH akan tewas tanpa Pas, apa rasional menuntut pertambahan jumlah kerusi? Tidak lain untuk mendapatkan sokongan majoriti Adun bagi kembali mengangkat Azmin Ali sebagai menteri besar.

Di sini kita dapat simpulkan bahawa kemungkinan wujud agenda peribadi sesetengah kumpulan yang telah memberi kesan yang jelas kepada kelancaran pergerakan PH, yang mana jika tidak dibendung dengan serius, ia akan membawa kepada lebih banyak masalah sehinggalah pada hari pilihan raya.

Saya tidak yakin, sekiranya Majlis Presiden yang merundingkan kerusi di Selangor akan diterima semua pihak lebih-lebih lagi PKR yang lebih dahulu menuntut 30 kerusi untuk mereka. Bahkan saya mempunyai keyakinan pertembungan tiga penjuru boleh berlaku kerana ia pernah berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini yang mana nama pemimpin PKR dari Selangor itu turut dikaitkan sebagai dalangnya.

Rakan parti lain tidak boleh dianggap sebagai bawahannya yang terpaksa mengikut telunjuk Azmin semata sebaliknya harus dihormati sebagai pihak yang setara, Azmin tidak boleh berperangai seperti seorang “Bos” kerana dia bukanlah “Bos”, dia hanyalah Menteri Besar yang diangkat secara terpaksa apabila calon Menteri Besar yang utama dipenjarakan dan calon kedua turut menghadapi kesulitan.

Banyak masalah yang telah ditimbulkan termasuklah melambatkan proses rundingan kerusi, dengan baki kurang 3 bulan parlimen bakal dibubarkan, sudah terlambat untuk perbaiki segala kerosakan yang dilakukan terhadap PH.

Azmin Ali sebagai Pengerusi PH Selangor wajar mengambil tanggungjawab sekiranya pembahagian kerusi Dun terpaksa diserah kepada Pusat kerana ia sekali gus Azmin gagal sebagai Pengerusi PH Selangor, tindakan ini bukan sahaja merencatkan perjalanan PH sebaliknya dilihat merendah rendahkan rakan kompenen lain. Letak jawatan dan serahkan kepada yang mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik.

Tiada ulasan: