HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Januari 2018

Polis hanya ambil keterangan, bukan siasat Dr Siti Hasmah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Polis berkata pihaknya bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Jumaat lalu bagi membantu melengkapkan siasatan berhubung perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis pada bulan September tahun lalu, dan menafikan ia satu bentuk intimidasi terhadap isteri bekas perdana menteri itu.
 
“Ini adalah sebahagian daripada proses siasatan polis dan tidak melibatkan sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.
 
Wan Ahmad berkata Siti Hasmah tidak sesekali disoal siasat tetapi diambil keterangan secara profesional, sejajar dengan status dirinya di negara ini.
 
“Malah Siti Hasmah sendiri telah membuat kenyataan umum bahawa beliau tidak berhadapan dengan sebarang bentuk intimidasi sepanjang kenyataan beliau dirakam,” katanya.
 
Jumaat lalu, polis Bukit Aman mengambil keterangan Siti Hasmah, 91, selama lebih sejam.
 
Ia mengenai ucapannya dalam perhimpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” di ibu negara, September lalu.
 
Peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu menjawab semua 12 soalan dikemukakan polis sepanjang sesi soal siasat berkenaan.
 
Siti Hasmah turut memaklumkan beliau sedia menjawab semua soalan lebih terperinci di mahkamah berhubung ucapannya dalam perhimpunan itu.
 
Wan Ahmad berkata, pihak polis juga memandang serius kenyataan “berbaur hasutan” mengenai pertemuan dengan Siti Hasmah.
 
 

Tiada ulasan: