HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Januari 2018

Agihan kerusi di Pahang hampir muktamad, kata Pakatan

Agihan kerusi di Pahang hampir muktamad, kata Pakatan
Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Fauzi Abdul Rahman berkata hanya satu atau dua kerusi DUN yang masih dalam perbincangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
HANYA satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang masih dalam perbincangan kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang Fauzi Abdul Rahman.

Menurut Fauzi, kesemua empat parti dalam gabungan tersebut kini hanya menunggu keputusan Majlis Presiden PH dan yakin ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita yakin keputusan dapat dibuat sebulat suara dan apa yang diputuskan oleh pihak atasan kita akan ikut,” katanya semasa berucap dalam konvensyen PH Pahang di Kuantan hari ini.

Menurut beliau yang juga pengerusi PKR Pahang, keempat-empat parti komponen harus menerima keputusan majlis pimpinan dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

“Saya minta kalau calon A bertanding, B,C dan D kena tetap bersama sebab matlamat kita adalah untuk menang.

“Kita semua perlu bekerja keras tetapi secara bijak bagi membolehkan rakyat menyokong Harapan. Malah BN pun tahu kedudukan mereka semakin terancam,” kata beliau di hadapan lebih 200 perwakilan negeri.

Pahang mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 42 Kerusi DUN.

Dalam PRU13, BN memenangi 30 kerusi manakala DAP tujuh dan PKR memenangi dua kerusi. Baki tiga kerusi lagi dimenangi oleh bekas sekutu mereka, PAS.

Di peringkat Parlimen pula, Bersatu bakal bertanding di enam kerusi manakala PKR empat kerusi, DAP tiga kerusi dan Amanah hanya mendapat satu kerusi di Parlimen Temerloh.

Tiada ulasan: