KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan
sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengadakan rundingan mengenai
penambahbaikan terhadap pelaksanaan Perjanjian Pembangunan dengan
Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
Felda dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan
oleh mesyuarat lembaga itu, yang diadakan pada Khamis lepas, demi
kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.
Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Anggota Lembaga Felda Datuk Dr
Yusof Ismail yang mewakili Kementerian Kewangan dan dianggotai Anggota
Lembaga Felda Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mewakili Jabatan
Perdana Menteri (JPM), Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali
serta Datuk Zainal Abidin Abu Hassan selaku wakil JPM.
“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil
daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM di dalam jawatankuasa
tersebut,” kata kenyataan itu.
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan perjanjian persefahaman yang
ditandatangani di antara Felda dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak
pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak
milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.
SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), turut
bersetuju menyerahkan kesemua suratan hak milik hartanah tersebut untuk
didaftarkan semula atas nama Felda.
Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak
ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200
juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang
diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment
Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju
utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi
membangunkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan