HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Januari 2018

Tiga termasuk dua murid maut bas rempuh lori rosak

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
BINTULU: Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II merupakan antara tiga yang maut selepas bas sekolah dinaiki mereka merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu - Miri berhampiran Ladang Sebubu, Samalaju, di sini pagi tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 6.12 pagi itu, pemandu bas, Ramnelan Samat, 50, dan seorang penumpangnya, Aien Laila Alesha Abdullah, 11, mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala, manakala seorang lagi mangsa, Nurnadia Syakila, 9, meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Bintulu.
 
Bas sekolah dipercayai dalam perjalanan menghantar anak-anak pekerja sebuah ladang sawit di Samalaju ke sebuah sekolah rendah di pusat bandar sebelum merempuh bahagian belakang lori berkenaan yang membawa muatan besi paip.
 
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi memaklumkan ketika kejadian, bas sekolah berkenaan dalam perjalanan menghantar 22 murid ke sebuah sekolah di pusat bandar.
 
"Hasil siasatan awal mendapati bas berkenaan merempuh bahagian belakang lori berkenaan, menyebabkan bahagian depan bas remuk, dengan ada di antara mangsa tersepit.
 
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pemandu lori mendakwa kenderaannya rosak dan diletakkan di bahu jalan," katanya.
 
Katanya, kejadian turut menyebabkan tujuh lagi murid sekolah terbabit cedera dan diletakkan di bawah pengawasan pasukan perubatan Hospital Bintulu, manakala 12 lagi penumpang terselamat, namun mengalami trauma susulan kemalangan itu.
 
"Punca sebenar kejadian sedang dikenalpasti dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Waris kesemua mangsa sudah dihubungi berhubung kejadian itu," katanya.
 
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan jabatan itu menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.12 pagi tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Samalaju.
 
"Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang mangsa tersepit di tempat duduk (pemandu bas) berikutan keadaan kenderaan yang remuk akibat pelanggaran," katanya.
 
 

Tiada ulasan: