HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Januari 2018

Hari ini menang, esok serah Stadium Shah Alam, kata Noh



noh-omar-ssa

KUALA LUMPUR: Stadium Shah Alam (SSA) akan diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pasukan bola sepak Selangor kini seperti pelarian kerana tidak memiliki gelanggang rasmi untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

“Ini janji kita kalau BN menang, hari ini kita menang, esok kita akan berikan stadium kepada FAS. Menteri besar Selangor perlu hormati pasukan ‘The Red Giant’.

“Pasukan ini sudah puluhan tahun mencipta nama. Bayangkan kalau pasukan bola yang mempunyai ribuan penyokong, akhirnya dikecewakan kerana ada unsur politik.

“Maka yang menjadi mangsa adalah anak muda, penyokong merah kuning,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Buat masa ini Stadium Shah Alam menjadi gelanggang rasmi pasukan bola sepak PKNS F.C sejak semusim yang lalu.

Skuad Red Giant disahkan akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk saingan Liga Malaysia 2018.

Bagaimanapun, perlawanan membabitkan pasukan Selangor di Selayang akan diadakan di sebelah petang mengambil kira lampu limpah yang tidak menepati syarat untuk membenarkan aksi di sebelah malam.

Noh berkata, inilah akan terjadi sekiranya Selangor ditadbir menteri besar yang hanya tertumpu pada isu politik.

“Dia mungkin marah dengan pemimpin BN tetapi yang jadi mangsa bukan sahaja pasukan merah kuning, tetapi turut melibatkan penyokongnya.

“Saya tidak tahulah apa nasib pasukan bola sepak ini. Mengapa hendak campur adukkan diantara sukan dan politik,” katanya.

Presiden FAS Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini berkata, tidak adil sekiranya kerajaan negeri menyatakan Stadium Shah Alam milik kerajaan Selangor.

“Kami mahu ‘balik kampung’ pada tahun ini selepas beraksi di Selayang musim lalu, namun hasrat tidak kesampaian kerana kerajaan negeri tidak membalas sebarang surat permohonan yang dikemukakan.

“Mereka juga tidak mahu bertemu kami untuk mengadakan perbincangan. Bukannya kami mahu beraksi secara percuma di Stadium Shah Alam kerana kami turut diminta bayar untuk menggunakan stadium itu sebelum ini,” katanya.

Tiada ulasan: