HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Januari 2018

Cikgu tak perlu takut ugutan BN, kata bekas guru

Cikgu tak perlu takut ugutan BN, kata bekas guru
Bekas guru, Nandakumaran Kathirvaloo berkata para guru tidak perlu takut dengan ugutan Barisan Nasional kerana undi adalah rahsia dan hak mereka semasa berucap di Konvensyen Pakatan Harapan di Kuantan, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
PARA guru tidak perlu takut menyokong pembangkang asalkan tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik, kata seorang bekas guru yang kini menjadi pemimpin akar umbi Pakatan Harapan (PH).

Mantan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih, Nandakumaran Kathirvaloo berkata beliau memberi fokus sepenuh masa sebagai pendidik sebelum menyertai PKR tiga tahun lalu.

“Saya setuju dengan pekeliling tak benarkan guru buat kerja politik, tapi hak untuk mengundi merupakan hak setiap rakyat Malaysia. Itu (termaktub) dalam perlembagaan persekutuan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nandakumaran yang ditemui di Konvensyen PH Pahang di Kuantan hari ini berkata beliau berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun sebelum bersara tiga tahun lalu.

“Bila lepas bersara, saya ada banyak masa untuk berpolitik jadi saya buat semua kerja politik kerana saya ghairah menentang Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya di Pentas Rakyat dalam sidang konvensyen itu, Nandakumaran berkata para guru tidak perlu takut dengan ugutan BN kerana undi itu adalah rahsia dan hak mereka.

“Nombor siri pada kertas undi itu tak boleh disemak kepada pengundi. (Nasihat) saya kepada penjawat awam, undi itu rahsia. Tolong undi. Keluar undi. Berani undi menentang kezaliman BN,” katanya.

Saranan sama disuarakan seorang bekas guru cemerlang, Norhaizan Abu Hassan, 59, yang bergiat aktif dalam politik di Bentong sejak 20 tahun lalu.

Beliau yang berpengalaman menjadi guru selama 32 tahun berkata walaupun aktif dalam PAS sebelum menyertai Amanah pada 2015 berkata beliau tiada masalah mengimbang antara keduanya.

“Kerja nombor satu. Sabtu, Ahad kalau ada program sekolah saya tak pergi program parti.

“Kerja (politik) bukan punca kegagalan. Jadi pembangkang tak halang kenaikan pangkat dari D41 hingga pangkat D54 bila saya bersara,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Norhaizan yang mesra dipanggil Cikgu Nab berkata walaupun dikenali sebagai “pembangkang”, beliau sentiasa mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja dan pegawai pendidikan daerah dan negeri sepanjang kariernya.

“Saya tak pernah lawan majikan. Itu prinsip. Kena hormat. Kalau salah, cakap elok-elok,” kata bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Temangau di Felda Kemayan itu.

Malah ibu kepada lima anak ini turut membawa seisi keluarganya menyertai perhimpunan anjuran pembangkang termasuk Bersih di Kuala Lumpur sejak 2008.

“Bagi saya kerajaan adalah keluarga kita. Saya tak lawan kerajaan, saya melawan pemerintah – orang yang diamanahkan mentadbir seperti menteri.

“Orang yang melawan kerajaan tak buat kerja dan tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka,” kata beliau.
Norhaizan Abu Hassan berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja dan pegawai pendidikan daerah dan negeri sepanjang kariernya sebagai guru walaupun menyebelahi pihak pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Januari, 2018.
Norhaizan Abu Hassan berkata beliau mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja 
dan pegawai pendidikan daerah dan negeri sepanjang kariernya sebagai guru walaupun 
menyebelahi pihak pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
Isu mengenai melibatkan sokongan guru menjadi kontroversi apabila Menteri Pendidikan Mahadzir Khalid dilaporkan memberi amaran kepada guru dan pegawai Kementerian Pendidikan supaya tidak menyokong pembangkang.

Menurut laporan Kwong Wah, Mahdzir juga berkata pegawai kerajaan tidak dibenarkan menganggotai parti pembangkang tetapi tiada masalah jika menyertai parti kerajaan.

Mahdzir berkata kakitangan awam, pegawai jabatan pendidikan dan guru dihalang daripada menyertai mana-mana parti pembangkang atau mengkritik kerajaan.

Para guru dan pegawai kerajaan tersebut mendapat pembelaan PH yang menyatakan janji untuk mengembalikan pekerjaan mereka sekiranya penjawat awam berkenaan dipecat kerana menyokong pembangkang.

Tiada ulasan: