HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Januari 2018

Skandal 1MDB: Bukti Kebenaran Perjuangan Rakyat

DETIK DAILY

 
Oleh DATO' HJ MAHFUZ OMAR

1. Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 1MDB merupakan satu kegagalan kerajaan dalam menguruskannya menimbulkan polemik terhadap skandal mega dalam sejarah negara. Walaupun ramai melihat bahawa pengakuannya sekadar bersifat politik untuk tujuan pilihanraya, tetapi kenyataan beliau itu memberi satu dimensi bagaimana isu 1MDB menjadi topik yang mesti dibincangkan dalam masyarakat dan rakyat seluruhnya perlu mengetahui kegagalannya agar menjadi teladan di masa hadapan seterusnya menjadi tanda aras baru bagaimana isu 1MDB perlu dilayan, diurus, disiasat, dan sesiapa yang terlibat terhadap kegagalannya didakwa selepas ini.

2. Pengakuan PM Najib Razak itu di buat setelah isu 1MDB tercampak di tengah dunia selama lebih 3 tahun setelah beberapa buah negara besar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Hong Kong, Switzerland dan Luxembourg melakukan siasatan terperinci dan telah mengambil beberapa tindakan undang-undang  termasuk merampas aset yang dikaitkan dengannya.

PM Najib Razak akhirnya akur setelah pelbagai usaha penafian, penipuan dan tindakan keras diambil termasuk membuang pemimpin-pemimpin kanan beliau, ‘mengikat’ pegawai-pegawai kerajaan, menukar pemimpin agensi penting kerajaan serta menutup ruang parlimen dari membahaskannya.

3. Kegagalan 1MDB menyinarkan kebenaran bahawa perjuangan rakyat, aktivis, golongan NGO, pemimpin politik termasuk di kalangan yang bersama dengan beliau adalah benar dan tidak boleh dinafikan lagi.

Maka juak-juak pembodek yang selama ini berpaut dengan PM Najib Razak dan mempertahankan sehabis upaya isu 1MDB dengan pelbagai penafian dan pembohongan tidak boleh beralasan lagi.

Oleh yang demikian sepatutnya mereka yang selama ini lantang memperjuangkannya, mengkritik dan mempersoalkan beliau perlu diberi peluang untuk tampil ke depan. Kritikan rakyat bermaksud PM Najib Razak dan kerajaan Umno BN telah melakukan kesilapan besar, dan rakyat menuntut beliau dan kerajaan UmnoBN mengakui kesilapan kerana membiarkan negara menjadi 'buah mulut' dunia dengan imej yang sangat buruk.

 Keberanian rakyat bangkit bersuara menjadikan sesebuah kerajaan akan telus dan negara serta rakyat selamat dari rasuah, penyelewengan serta pemimpin yang zalim yang amalkan salah guna kuasa.

 JANGAN SOROK 1MDB DALAM 'KELAMBU KAA'BAH'

4. PM Najib Razak tidak boleh menuding jari dengan menuduh bahawa 1MDB dieksploitasi secara politik dan ada “kempen tumpuan” untuk mensabotaj ekonomi Malaysia. Kegagalan kerajaan pentadbiran beliau dalam skandal bernilai lebih dari RM 42 bilion itu tidak boleh ‘disapu di bawah karpet  Masjidil Haram dan di dalam kelambu Kaa'bah' ketika mengerjakan umrah dengan menuduh orang lain mengambil kesempatan terhadap ekonomi Malaysia.

 Apakah beliau dan Umno Bn mahu menganggap seluruh dunia sedang berpakat menjatuhkannya dengan mensabotaj ekonomi Malaysia. Sepatutnya beliau dan Umno Bn mengukur serta menginsafi diri bahawa sememangnya beliau bersalah atas kegagalan sebagai PM dan Menteri Kewangan dalam menguruskan 1MDB.

5. Bukan hanya sekadar PM Najib Razak mengakui kegagalannya, tetapi perlu dinyatakan ke mana duit 1MDB RM42 bilion,apa jadi duit Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang diberikan pada SRC anak syarikat 1MDB berjumlah RM4 bilion,apakah yang PM Najib Razak telah lakukan pada wang dari SRC yang di masukan ke dalam akaun beliau melalui AmPrivate Banking sebanyak RM42 juta,kenapa PM Najib Razak sorok laporan ketua audit negara berkaitan 1MDB dari pengetahuan rakyat,kenapa PM Najib Razak membisu hingga tidak ambil tindakan pada Serawak Report (SR) dan Wall Street Journal yang melapor dan mendedah serta mendakwa keterlibatan PM Najib Razak dalam skandal mega 1MDB,kenapa  tiada tindakan terhadap DOJ yang mendakwa penglibatan Najib sebagai MO1 dalam skandal besar negara 1MDB.

Disamping itu beliau juga perlu bertanggung jawab terhadap semua yang berlaku dengan mengembalikan kembali harta dan aset yang keluar dan paling utama, kebertanggungjawaban Perdana Menteri apabila beliau perlu meletakan jawatan PM dan menyerahkan urusan pentadbiran negara kepada kerajaan sementara (Caretaker Government) selepas pembubaran parlimen untuk memastikan tiada salah guna kuasa semasa  Pilihan Raya Umum ke-14 dan memastikan PRU berjalan dengan adil. 
 
 

Tiada ulasan: