HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Januari 2018

Kecoh di Konvensyen PH N.Sembilan sudah diselesaikan cara baik - Wan Azizah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah wan Ismail berkata kekecohan yang berlaku sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan semalam, hanya perselisihan kecil ekoran ketidakpuasan hati bersabit soal agihan kerusi di negeri itu. 
 
Bagaimanapun ujarnya, perkara itu sudah diselesaikan secara baik oleh parti yang terlibat. 
 
"Itu telah ditangani oleh Datuk Seri Mukhriz, dan keadaan telah reda. Ia dalam soal pembahagian kerusi, saya kira perkara ini kita rasa boleh diselesaikan dalam meja rundingan.
 
"Tapi mungkin sebab ada yang diberikan 'jolokan' untuk beri sedikit (gambaran) seperti tunjuk perasaan, tapi tiada apa yang berlaku lepas itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
 
Semalam Konvensyen PH Negeri Sembilan kecoh apabila akar umbi PPBM tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
 
Lebih 50 ahli melaungkan perkataan 'ini tidak adil' beberapa kali dari bahagian belakang dewan sebaik Wan Azizah selesai berucap.
 
Sebelum itu Ketua Setiausaha PH, Datuk Saiffuddin Abdullah mengumumkan pengagihan 36 kerusi DUN iaitu 12 milik PKR, DAP (11), Parti Amanah Negara (tujuh) dan PPBM (enam), manakala bagi Parlimen setiap parti mendapat dua kerusi.
 
Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd Shahrul Anuar Abu Samah yang dipetik Berita Harian berkata, lapan bahagian parti itu tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi yang dibuat pusat, kerana dilakukan tanpa perbincangan dan pengetahuan peringkat negeri.
 
Katanya, walaupun akur dengan jumlah kerusi hanya enam berbanding jangkaan mereka 10 kerusi, semua kawasan yang diberikan sukar untuk menang.
 
 

Tiada ulasan: