HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Januari 2018

PPMM desak kerajaan beri kelonggaran bukan Islam hadir ke Mahkamah Syariah

ANTARAPOS

Post Pic
 
SHAH ALAM: Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia mendesak kerajaan meminda undang-undang yang membataskan Mahkamah Syariah terhadap orang Islam sahaja.
 
Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar percaya sekiranya kerajaan berbuat demikian, orang bukan Islam bakal mendapat keadilan di mahkamah syariah.
 
"Saya mendesak semua undang-undang yang mengehadkan Mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di Mahkamah Syariah. 
 
"Dengan cara ini orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di Mahkamah Syariah. 
 
Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes penukaran agama sepihak membabitkan M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah, hari ini.
 
Selepas 10 tahun bersidang, Mahkamah Persekutuan memutuskan pertukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal.
 
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa kepada Islam.
 
Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan perkataan “parent” seperti dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca sebagai bermaksud kedua-dua ibu dan bapa.
 
Menurut perkara itu, seorang penjaga atau parent (ibubapa) berhak menukar agama anak mereka yang belum mencapai umur 18 tahun.
 
Zainul juga menggesa undang-undang tubuh negeri turut dipinda seperti mana yang digunapakai oleh kerajaan negeri Terengganu.
 
"Saya mendesak semua kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing-masing dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh sebagaimana yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu. 
 
"Dengan cara itu mahkamah syariah akan dilihat sama taraf (at par) dengan mahkamah sivil. 
 
Selain itu, beliau juga menggesa undang-undang berhubung penukaran agama Islam melibatkan kanak-kanak dikaji semula.
 
"Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibubapanya beragama Islam," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: