HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Januari 2018

Kalau tak kerana Putrajaya, Kelantan tak mampu bayar gaji kakitangan

Kalau tak kerana Putrajaya, Kelantan tak mampu bayar gaji kakitangan
Perdana Menteri Najib Razak berkata tanpa suntikan kerajaan pusat, negeri defisit seperti Kelantan pun akan sukar membayar gaji kakitangan awamnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal,
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan peluang dalam kunjungan di Kelantan hari ini untuk mengingatkan kerajaan PAS Kelantan mengenai bantuan yang dihulurkan kerajaan BN pada negeri itu.

Najib dalam ucapannya di Kota Bharu hari ini mengungkitkan bahawa kerajaan negeri malah tidak akan mampu membayar gaji penjawat awamnya jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan tidak mampu menanggung bayaran tersebut walau negeri tersebut adalah sebuah negeri dengan defisit rendah.

“Negeri defisit macam Kelantan ini pun, kalau tidak ada suntikan daripada kerajaan pusat nak bayar gaji pun tak mampu, tak boleh nak bayar gaji," katanya.

Najib seterusnya menyebut mengenai bendera partinya sebagai perlambangan kempen Barisan Nasional (BN).

“Kita bagi suntikan macam-macam, tuan-tuan dan puan-puan apa salahnya bendera kita (BN) kasi naik sikit bagilah peluang.

“Ini susah-susah baru minta tolong kita, bendera dah naik pun kita nak kena turunkan, ini lah kita baik hati,” kata Najib sambil tertawa kecil.

Beliau berucap dalam acara pertemuan bersama penjawat awam di Wisma Persekutuan, Kota Bharu, Kelantan

Najib juga berkata sejak beliau jadi perdana menteri pelbagai pembangunan telah dibuat untuk negeri Kelantan.

Bahkan katanya ia melebihi daripada apa yang dilakukan perdana menteri terdahulu iaitu Dr Mahathir Mohamad.

“Sebab itu saya minta Unit Perancangan Ekonomi Kelantan, takutlah saya silap 1991- 2005 EPU sebanyak RM12 bilion dan pada 2006- 2018 sebanyak RM14.6 bilion.

“Maknanya dalam lapan tahun saya jadi perdana menteri saya dah lakukan lebih banyak pembangunan berbanding orang yang perdana menteri selama 22 tahun,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir.


Tiada ulasan: