HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Januari 2018

Henti ulang propaganda Wahabi, pakar Timur Tengah beritahu Asri

 
Pengikut Syiah juga menolak pemerintahan ulama, dan kenyataan mufti Perlis mendedahkan 'kejahilannya', kata ahli akademi AS.


nader-asri-3

PETALING JAYA: Seorang pengkaji Timur Tengah dari Amerika Syarikat melabel Datuk Mohd Asri Zainul Abidin sebagai “jahil” tentang ajaran Syiah, selepas mufti Perlis itu melancarkan siri serangan terhadap aliran Islam kedua terbesar itu.

Nader Hashemi, yang mengetuai Pusat Pengajian Timur Tengah di Universiti Denver berkata, amaran Asri mendakwa ajaran Syiah menentang prinsip demokrasi “mendedahkan kejahilannya tentang pemikiran politik Syiah”.

“Mungkin jika Asri mengurangkan membaca dan mengulangi propaganda Wahabi dan benar-benar mengkaji topik-topik yang diulas, dia tidak lagi akan memalukan dirinya di khalayak ramai. Saya hanya boleh berharap itulah yang sedang berlaku sekarang ini,” kata Hashemi kepada FMT, merujuk doktrin Wahabi yang menjadi ikutan di Arab Saudi.

Asri mengundang kecaman daripada ahli akademi dan aktivis hak asasi minggu lepas berikutan kenyataannya mendakwa pengikut Syiah ancaman kepada keselamatan negara.

Dakwaan itu menyusuli kritikannya terhadap aktivis Amri Che Mat dari Perlis yang hilang secara misteri. Amri dikaitkan dengan ajaran Syiah, yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin sebelum ini memberitahu siasatan terbuka Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke atas kehilangan Amri bahawa beliau mengesyaki pegawai Asri ada memainkan peranan dalam kehilangan suaminya.

Asri nafi sebarang kaitan dengan kehilangan Amri, tetapi akui beliau ada menyoalnya tentang kecenderungan ke arah ajaran Syiah.

Asri kemudian berkata badan kebajikan Amri, Perlis Hope, mungkin memperjuangkan fahaman teokrasi, atau “negara mullah”, dan berkata itulah matlamat utama ajaran Syiah.

Beliau berkata revolusi Iran 1979, iaitu kebangkitan popular yang dipimpin Ayatullah Khomeini yang menumbangkan dinasti Shah, mempromosikan idea yang melemahkan demokrasi.

“Seketika mereka katakan mereka menolak negara yang dikuasai golongan mullah hinggakan orang awam tidak dibenarkan dan tidak berhak mempertikaikan golongan agama. Sedangkan amalan Syiah itu pula, perjuangannya adalah untuk mewujudkan negara revolusi seperti di Iran,” katanya kepada aktivis yang mengkritiknya.

Hashemi menjelaskan pengikut Syiah termasuk agamawan di Iran turut ke depan menolak pemerintahan ulama.

Beliau mengambil contoh bantahan dalam kalangan pemimpin kanan Syiah di Iran terhadap teori politik “wilayah faqih” yang dimajukan oleh Khomeini pasca revolusi Iran.

Hashemi berkata penolakan yang sama boleh disaksikan dalam kalangan sarjana Syiah di Iraq.

“Di Iraq hari ini, Ayatullah Ali Sistani, seorang ahli teologi Syiah yang berpengaruh dan paling terkemuka, menenang pemerintahan ulama. Pandangannya menjadi pandangan arus perdana dalam Syiah, dan hakikat itu diketahui oleh mana-mana orang yang arif tentang topik ini,” tambahnya.

Mazhab Syiah paling berpengaruh di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa kawasan di Arab Saudi dan Yaman.

Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia mengeluarkan fatwa melabel ajaran Syiah sebagai sesat. Sehingga hari ini masjid-masjid di serata Selangor membacakan doa mengecam Syiah dan aliran bukan Sunnah Wal Jamaah semasa solat Jumaat.

Tiada ulasan: