Ada kawan yang perli, macam mana Amanah nak ganti PAS. Dulu PAS bertanding banyak kerusi, sedangkan Amanah bertanding sikit saja.
Sebenarnya Amanah pun tidak mahu jadi macam PAS. PAS bertanding memang banyak, tapi kalah pun banyak. Amanah adalah sebuah parti yang mempunyai visi yang jauh dan besar. Di dalam Amanah, kita percaya kekuatan mesej adalah lebih penting berbanding kekuatan organisasi atau jentera dari sudut saiznya sahaja. Tidak dinafikan, saiz organisasi dan jentera adalah penting, tetapi ia tidak sepenting mesej politik yang diperjuangkan.
Amanah akan terus berkembang secara organik. Amanah tidak berhasrat menjadi parti yang artificial.
Amanah mempunyai cawangan-cawangan yang tersusun rapi dan berupaya menggerakkan program setempat di peringkat akar umbi. Parti lain mungkin ada kekuatan dari sudut yang berbeza, tetapi Amanah juga ada kekuatan yang tidak ada pada parti lain.
Kita menggantikan PAS dalam konteks menjadi sebuah parti komponen di dalam Blok Pembangkang dengan membawa risalah Islam sebagai Rahmat Untuk Semua. Tetapi, strategi dan pendekatan Amanah pastinya tidak sama dengan PAS. Amanah bukan PAS 2.0.
Amanah adalah Amanah yang lahir dengan DNA yang lebih baik, insyaAllah, untuk menjadi sebuah parti politik Islam yang progresif, inklusif, demokratik, dan peduli rakyat.
Dari awal, malah sebelum tertubuhnya PPBM lagi, Amanah sememangnya menjangka bahawa jumlah kerusi yang optimum yang bakal ditandinginya adalah dalam sekitar 35 kerusi Parlimen sahaja. Jadi dengan mendapat 27 kerusi parlimen bertanding itu tidaklah begitu jauh lari dari sasaran awal, dengan mengambil kira penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan.
Sekarang Amanah perlu memberikan sepenuh perhatian bagi memastikan kemenangan sebanyak mungkin di kerusi yang diamanahkan untuk mewakili Pakatan Harapan.
Fokus. Fokus. Fokus untuk mencapai kemenangan.
Demi Islam. Demi Negara. Demi Rakyat.
Islam Rahmatan Lil Aalamin.
*Hj Jamzuri Ardani,Ketua Komunikasi AMANAH Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan