HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Januari 2018

Ibrahim: Kenapa Anwar tak kaitkan DAP kepada Ops Lalang?



KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mengaitkan tangkapan 106 aktivis dan ahli politik pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 disebabkan kenyataan berbaur perkauman pimpinan Pemuda Umno dan MCA, tanpa menyebut DAP.

Ibrahim ialah antara aktivis yang ditahan ketika itu mendakwa selain Pemuda Umno dan MCA, DAP turut memainkan peranan penting kerana bersuara lebih lantang sehingga menyebabkan tangkapan besar-besaran itu yang turut dikenali sebagai Operasi Lalang.

Presiden Perkasa itu berkata, adakah punca Anwar tidak mengaitkan DAP dengan Operasi Lalang pada 31 tahun lalu kerana parti itu kini bersama PKR dalam Pakatan Harapan (PH)?

“Isu itu bermula bukan sahaja disebabkan (kenyataan perkauman) pimpinan Pemuda Umno (diketuai Datuk Seri Najib Razak) dengan Pemuda MCA yang ketika itu dipimpin Lee Kim Sai, tetapi sebelum itu DAP telah menyuarakan dahulu mengenai isu pendidikan (Cina) sehingga sampai ke isu ketuanan Melayu.

“Saya tidak tahu (kenapa) Anwar sebut setakat (pimpinan Pemuda) Umno dan MCA. Apakah mungkin beliau bersama PH dan DAP kini merupakan penyokong kuat dia?

“Apakah kerana itu dia tidak mampu sebut perkataan DAP, sedangkan ketika Anwar menjadi naib presiden Umno, dia seorang yang lantang dan lebih lantang daripada Najib,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Anwar di Mahkamah Tinggi Rabu lalu yang mendakwa kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan pemimpin Pemuda Umno dan MCA sebagai punca 106 aktivis dan ahli politik pembangkang ditahan tanpa perbicaraan pada 27 Oktober 1987.

“Ketegangan disebabkan Pemuda MCA dan Umno yang kemudiannya menyebabkan Operasi Lalang (tangkapan ISA),” kata Anwar menjawab soalan peguam, Mohammed Nasser Yusof mewakili ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang disaman bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kerana memfitnah.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga exco Pemuda Umno dan ahli Parlimen Pasir Mas pada 1987 mengakui bersama Najib dan bekas exco Pemuda Umno, Mohamed Fahmi Ibrahim serta Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan pengerusi perhimpunan di Stadium TPCA, ketika itu.

“Daripada DAP, MCA, Pemuda Umno dan juga pimpinan Umno ketika itu memang lantang bersuara.

“Saya tidak pernah keluar kenyataan ketika itu, yang berucap ialah Tajuddin, Fahmi dan Najib.

Tetapi, saya tetap ditahan ketika itu,” katanya yang ditahan selama 58 hari di bawah Operasi Lalang.

Beliau juga pernah ditahan selama 2 tahun dan 60 hari selepas menyertai demonstrasi pelajar menentang kemiskinan di Baling pada 1974.

Ibrahim berkata, Anwar tidak patut menyalahkan Pemuda MCA dan Umno sahaja kerana DAP menggembar-gemburkan isu pendidikan Cina sebelum Operasi Lalang bermula, di bawah konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang akhirnya dikaitkan dengan sekolah Cina.

“Analoginya seperti DAP-MCA. MCA jadi lantang sebab DAP. Ini kerana MCA nak dapatkan sokongan orang Cina.

“Dia akan cakap dan ingin lebih hebat daripada DAP. MCA nak dapatkan sokongan, dia cakap lebih. Pada saya, DAP dari dulu lagi cakap soal Malaysian Malaysia.”

Menurut laporan media, Pemuda MCA menimbulkan beberapa isu sensitif, termasuk mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru dan penguasaan politik orang Melayu.

Pada awal November 1986, MCA Selangor yang diketuai Lee meluluskan satu usul dalam konvensyen tahunannya menyeru kerajaan mengkaji semula Akta Hasutan dan menjadikan tindakan menggelar mana-mana 3 kaum utama pendatang sebagai satu kesalahan.

MCA dan Lee turut menyertai tunjuk perasaan bersama DAP membantah pelantikan penolong kanan dan penyelia tanpa kelayakan Bahasa Mandarin di sekolah rendah Cina.

Media melaporkan Pemuda Umno menganggap tindakan itu mencabar status Bumiputera orang Melayu, yang membawa kepada gesaan memecat Lee oleh ahli parti dan menarik balik gelaran Datuk diberikan Sultan Selangor.

Semalam, Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dr Kua Kia Soong meminta Anwar tidak lari daripada tanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Operasi Lalang berlaku.

Bekas tahanan ISA itu berkata, selain Najib, Anwar yang merupakan menteri pendidikan ketika itu juga bertanggungjawab kerana menghantar pentadbir tidak layak ke sekolah Cina yang merupakan punca berlaku protes sehingga menyebabkan 106 orang ditahan polis.

Kua berkata, tanggungjawab memulakan tangkapan terletak di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga menteri dalam negeri dan perdana menteri ketika itu.

Beliau mendakwa perkara yang membawa kepada penahanan itu ialah sebahagian daripada “kontroversi dirancang” mereka yang berkuasa.

Tiada ulasan: