KOTA BHARU: Penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebaran berita
palsu melalui pelbagai platform media sosial perlu diperketatkan, kata
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi
mengelak ia merosakkan sistem demokrasi serta ekonomi negara yang
akhirnya akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa akibat perbuatan tidak
bertanggungjawab sesetengah individu.
"Penyebaran berita palsu ini nampaknya menjadi modal bagi sesetengah
pihak untuk merebut kuasa dengan cara tidak beretika. Mereka cuba
mempengaruhi rakyat dengan berita tak betul.
"Ada juga penyebaran berita palsu yang bertujuan menakut-nakutkan
pelabur dari luar, dengan mendakwa Malaysia (kononnya) akan bankrap dan
sebagainya. Tindakan sebegini akan membunuh demokrasi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran
dan penyampaian bantuan bersama penduduk di kawasan Parlimen Ketereh di
kediamannya di Seri Puri, Bukit Marak, di sini semalam.
Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata kerajaan perlu
mengikut jejak langkah beberapa negara luar yang berusaha memperkenalkan
undang-undang lebih tegas untuk membendung berita palsu.
Dalam pada itu, beliau berkata Barisan Nasional (BN) memperkenalkan
prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan tempoh maksimum selama
empat jam bagi menjawab setiap penularan berita palsu terutama bagi
menangkis fitnah yang dilemparkan pembangkang.
"Setiap berita palsu yang sampai dekat kita, kita akan respons dalam
tempoh tak sampai empat jam. Kita akan buat pembetulan (terhadap
sebarang tuduhan) walaupun tahu ia bukan kerja yang mudah.
"Saya jangkakan semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gejala
ini akan terus meningkat termasuk kemungkinan ada rancangan (pihak
tertentu) untuk menyebarkan berita palsu di saat-saat akhir hingga
menyebabkan kita tiada masa untuk memperbetulkan fitnah dan memberi
kelebihan kepada mereka," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata 300 Ketua Penerangan BN
akan mengambil bahagian dalam konvensyen selama dua hari bermula Sabtu
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang bertujuan
memberi maklumat tepat berkaitan beberapa isu seperti Felda, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), ekonomi dan keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan