Katanya logo berkenaan direka untuk menarik kunjungan pelancong asing ke Malaysia – yang disasarkan seramai 36 juta orang untuk tempoh VMY 2020.
“Saya tiada niat untuk tukar. Kami tidak akan reka semula. Ia ditujukan kepada pelancong asing, bukan pelancong tempatan. Semasa saya lancarkan di Chiang Mai, mereka menyukai dan memujinya.
“Kita tidak bayar sesen pun. Orang yang merekanya adalah kakitangan kami sendiri. Saya percaya pada kakitangan saya yang sudah berpengalaman lebih 30 tahun dalam (perkara ini),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Nazri berkata, kritikan yang timbul ke atas rekaan tersebut adalah perkara biasa dan logo tersebut akan dikekalkan.
“Tak apa jika orang mahu cakap perkara negatif,” katanya yang menambah, kakitangan tersebut juga bertanggungjawab mereka empat logo VMY sebelum ini.
Logo tersebut dilancarkannya pada Jumaat lalu di Forum Pelancongan Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand.
Ia memaparkan ilustrasi orang utan berkaca mata hitam memeluk monyet belanda, bayangan Menara Berkembar Petronas dan penyu di pantai yang juga memakai cermin mata hitam.
Logo itu memaparkan slogan "Travel. Enjoy. Respect" yang menurut Nazri selaras dengan aspirasi Organisasi Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).
Ia menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial yang turut mencaci dan mengutuk pereka karya tersebut.
Rosli Hassan, seorang pereka kanan di kementerian tersebut menjelaskan karya tersebut dihasilkan berdasarkan perbincangan dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz.
Malah, idea tersebut juga telah dipersetujui oleh jabatan dan juga kementerian berkenaan, tempat beliau bertugas, katanya.
"Sebagai kakitangan kerajaan saya hanya melaksanakan tugasan yang diberi," kata Rosli kepada The Malaysian Insight.
Beliau menganggap dirinya sebagai salah seorang pereka bentuk logo utama negara dan bercadang untuk mendakwa pihak yang didakwanya cuba merosakkan nama baiknya.
"Saya rasa tidak wajar saya dipersalahkan dalam isu ini," kata Rosli mengulas tindak balas pengguna laman sosial terhadap logo itu.
Rosli berkata, beliau tidak mendapat apa-apa bayaran dari logo kerana ia dibuat untuk menunaikan tugasnya di jabatan beliau.
Antara hasil tangan utama Rosli sebelum ini adalah mencipta logo dan lambang kapal selam Scorpene Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2008, dan juga logo Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan