Tetapi kemunculannya malam tadi disambut lebih 1,000 pengundi yang hadir meraikan penampilan kali pertama pemimpin veteran DAP itu sejak pembedahan membuang ketumbuhan dari buah pinggangnya pada bulan lepas.
Selepas mukadimah ringkas oleh anak lelakinya dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Kit Siang disambut di atas pentas oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu, Ketua Amanah Johor Amirul Huda, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman, Naib Pengerusi DAP Gobind Singh dan Ketua DAP Johor Liew Chin Tong.
Merupakan seorang daripada ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat di negara ini, Kit Siang menandakan kepulangannya dengan berucapan sebagai penceramah terakhir pada malam tadi dengan ucapannya yang bersemangat.
Beliau memulakannya dengan mengatakan rakyat Malaysia boleh melupakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan pilihan raya berikutnya jika Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh majoriti dua pertiga Parlimen.
Tidak memperlihatkan sebarang tanda pernah menderita sakit sebulan lalu, Lim berkata pilihan di depan rakyat Malaysia bukan antara Perdana Menteri Najib Razak atau bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi sama ada ia akan meneruskan trajektori yang buruk.
"Atau sama ada kita boleh menyelamatkan negara dengan menetapkan semula dasar pembangunan negara berdasarkan prinsip-prinsip asas perlembagaan Malaysia," kata Kit Siang.
"Najib bukan sahaja mahu dipilih semula dalam PRU14, tetapi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga Parlimen. Sekiranya Najib berjaya dan memperoleh semula majoriti dua pertiga Parlimen, rakyat Malaysia akan kehilangan pilihan perubahan demokratik melalui proses pilihan raya dan kita hampir boleh melupakan PRU15 dan pilihan raya umum akan datang," kata Kit Siang, yang bakal mencecah usia 77 tahun pada bulan depan.
Beliau berkata perdana menteri, yang mengetuai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) apabila didakwa keurigian wang, akan lebih berani jika BN memperoleh semula penguasaan dua pertiga Parlimen dan akan menjadikannya lebih sukar bagi mana-mana pembangkang untuk mencabar kerajaan yang memerintah.
Sebelum itu, Kit Siang dikejutkan dengan mesej video rakaman Dr Mahathir Mohamad, yang memberi ucapan kepadanya agar segera sembuh.
"Bagus melihat anda kembali meneruskan perjuangan kita kerana suara anda masih berpengaruh," kata pengerusi Pakatan Harapan yang berusia 92 tahun itu.
"Saya harap mereka yang hadir malam ini untuk Kit Siang memahami kita adalah parti yang terdri daripada orang berpengalaman, bersama pemimpin lama dan baru. Ini adalah kombinasi idea dan pengalaman baru, dan saya harap anda (Kit Siang) akan pulih dengan cepat," kata Dr Mahathir.
Pada permulaan ceramah, sebelum kemunculan Kit Siang, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa pengundi Gelang Patah meneruskan apa yang telah mereka mulakan dalam PRU13.
"Bolehkah kita menyelesaikan apa yang kita mulakan dalam PRU13? Marilah kita memenangi lebih banyak kerusi di Johor. Ini adalah peluang dan masa anda.
"Gelang Patah tidak boleh menang untuk Gelang Patah sahaja tetapi semua kerusi negeri lain yang dipertandingkan di sini," kata Nurul Izzah.
"Biarkan gerakan pembaharuan bermula di Johor dan tersebar ke seluruh negara."
Kit Siang memenangi kerusi Gelang Patah pada PRU13 dengan memenangi 57.87% undi popular apabila beliau mengalahkan menteri besar Abdul Ghani Othman (42.13%) tetapi Pakatan Rakyat hanya boleh menang salah satu daripada dua kerusi negeri.
Boo Cheng How daripada DAP memenangi Skudai tetapi Sallahuddin Ayub (PAS) kalah kerusi Nusajaya.
Sementara itu, Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, memberitahu para pengundi agar berhati-hati terhadap permainan yang dimainkan pihak lawan.
"Semasa perhimpunan agung Umno yang terakhir, mereka cuba menimbulkan rasa takut kepada ahli mereka dengan memberitahu untuk memilih antara Najib dan Lim (Kit Siang).
"Mereka berkata 'jika anda memilih PH, Kit Siang akan menjadi PM'. Tetapi sekarang kita menamakan Dr Mahathir dan rancangan permainan mereka gagal," kata Mat Sabu kepada hadirin yang bersorak apabila mendengar nama Kit Siang dan Dr Mahathir disebut.
Mat Sabu juga mempersendakan pihak berkuasa, yang tidak dapat mencari penjenayah 1MDB tetapi menyoal isteri Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerana memberi ucapan dalam satu perhimpunan tahun lepas.
PH memulakan kempen "100 hari Menuju Putrajaya" dengan ceramah bermula dari kerusi milik pembangkang di Gelang Patah malam tadi.
Serangan terhadap BN akan diteruskan di wilayah yang dipegang oleh MCA. Selepas Gelang Patah, PH akan menggempur "wilayah musuh" dengan program berturut-turut di kawasan MCA di Ayer Hitam dan Bentong.
Bentong dipegang oleh Presiden MCA, Liow Tiong Lai, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya 2013, manakala Ayer Hitam adalah kubu kuat Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong.
PH akan melancarkan pusat pilihan raya Ayer Hitam pada 5.30 petang hari ini sebelum mengadakan ceramah pra-PRU14 kedua di Bentong diikuti satu lagi di Labis pada malam Isnin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan