HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Januari 2018

Mangsa kebakaran Presint 16 ditempatkan sementara di rumah komuniti

Manzaidi Mohd Amin
Saufi bersama dua anak dan isteri bernasib baik kerana ketika rumah terbakar mereka berada di luar.
 

KUALA LUMPUR – Pembantu Akaun Jabatan Akauntan Negara (JANM), Saufi Mat Hassan bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk ibu saudaranya, terselamat dalam kejadian kebakaran melibatkan kediamannya di Blok 16, Presint 16, Putrajaya, malam tadi.

Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, beliau bersama dua anak dan isteri tiada di rumah kerana keluar membeli belah di pusat beli belah berdekatan.

Bagaimanapun, ibu saudaranya, Nik Asiah Nik Yaacob, 58, yang berada dalam rumah ketika api sedang marak sempat diselamatkan orang ramai.

Menurut Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, hasil siasatan mendapati ketika kejadian, Nik Asiah dikatakan sedang solat di salah sebuah bilik dalam rumah itu dan terhidu bau asap sebaik dia memadamkan lampu untuk tidur.

“Kita menerima maklumat kejadian pada jam 9.15 malam dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, satu unit pangsapuri kuarters penjawat awam di Presint 16, Putrajaya terbakar.

Seramai 23 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya diketuai Ketua Balai, Che Shaari Abdullah bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

“Kami terima panggilan kecemasan pada jam 9.15 malam dan sampai ke lokasi 10 miit kemudian.
Sebaik tiba, kami dapati bilik utama unit pangsapuri yang berada di tingkat empat itu terbakar,” katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian.

Sementara itu, orang ramai yang bersimpati dengan keluarga Saufi boleh menyalurkan derma atau bantuan kewangan melalui akaun Maybank 164593031755.

Beliau yang kini ditempatkan di rumah komuniti Presint 16, mempunyai dua anak berusia empat dan tujuh tahun, manakala isterinya sedang hamil. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: